Home Seni Hidup Taman Botani Johor simpan 1,001 rahsia alam

Taman Botani Johor simpan 1,001 rahsia alam

Taman Botani Johor

BATU PAHAT – Pengunjung luar yang datang ke daerah ini mungkin boleh membawa kenangan manis dengan berkunjung ke Taman Botani Johor yang menyimpan 1,001 rahsia alam.

Berada di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Medan, taman botani tersebut yang dibuka sejak 2006 amat sesuai untuk mereka yang suka dengan keindahan alam dan tumbuh-tumbuhan.

Terletak hanya 17 kilometer dari Bandar Penggaram, taman botani milik kerajaan negeri Johor itu memiliki pelbagai fasiliti awam sebagai kemudahan bersama.

Bagi pengunjung yang datang dari jauh, mereka tidak perlu bimbang untuk mendapatkan penginapan seperti hotel dan homestay kerana semuanya ada di situ.

Bukan sahaja pokok-pokok, malah pelbagai jenis burung boleh dilihat di taman tersebut dan ia pasti mengujakan.

Pada hujung minggu atau cuti umum, lazimnya ramai mengambil kesempatan melakukan aktiviti sihat secara santai di pusat rekreasi atau taman.

Justeru, Taman Botani Johor mampu menjadi destinasi sesuai untuk beriadah bersama keluarga dan anak-anak.

Pengurus Taman Botani berkenaan, Hairul Azhar Sulaiman berkata, taman tersebut sememangnya sangat sesuai untuk dijadikan tempat bersantai seisi keluarga.

Malah katanya, ia juga boleh menenangkan fikiran bagi mereka yang menghadapi tekanan di tempat kerja kerana boleh menghirup udara segar daripada tumbuhan hijau yang terdapat di situ.

Menurutnya, ia juga boleh dijadikan sebagai pusat sumber bagi pengunjung yang mahu mengenali jenis-jenis pokok yang sebelum ini tidak dikenali mereka.

“Di sini ada lebih 200 spesis pokok-pokok yang ditanam untuk dikenali oleh pengunjung.

“Setiap pokok akan dilabel bagi memudahkan pengunjung untuk mengenali jenis pokok itu terutama bagi mereka yang tidak mengenali jenis-jenis pokok.

“Bukan setakat itu pengunjung juga boleh merasai pengalaman mendengar suara kicauan pelbagai spesis burung-burung liar yang banyak berterbagan di taman ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Hairul Azhar berkata, untuk masuk ke taman berkenaan pengunjung tidak akan dikenakan sebarang bayaran dan dibuka dari pukul 7 pagi hingga 7 petang.

Katanya, pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti rekreasi termasuk berjogging dan berbasikal.

Tidak perlu bimbang dengan isu keselamatan kerana kawasan tersebut dikawal 24 jam.

Mengulas lanjut Hairul Azhar memberitahu, kawasan berkeluasan 99 hektar itu merupakan tempat untuk melombong bijih timah suatu ketika dahulu.

Katanya, tasik buatan yang ada di dalam taman botani tersebut terbentuk daripada aktiviti perlombongan dan telah berusia lebih 100 tahun.

Tambah beliau, pelbagai jenis ikan juga boleh dilihat di dalam tasik tersebut dan yang paling banyak adalah ikan lampam.

Bagaimanapun, aktiviti memancing tidak dibenarkan di tasik tersebut dan pengunjung hanya dibenarkan untuk memberi makan ikan sahaja, katanya.

Hairul Azhar menunjukkan tasik memilik ribuan jenis ikan lampam

“Saya pasti pengunjung akan berpuas hati datang ke sini kerana mereka bukan sahaja dapat beriadah tetapi, juga dapat mengenal pelbagai jenis flora,” katanya. – MalaysiaGazette