KUALA LUMPUR – Pembukaan semula pintu sempadan tidak bermakna sektor pelancongan akan melonjak kerana pelbagai faktor semasa termasuk tiket penerbangan yang mahal dan pengurangan kekerapan penerbangan tidak menggalakkan aktiviti melancong.
Nanyang Siang Pau melaporkan, pemulihan yang diharap-harapkan tidak akan mengambil tempat serta-merta, tetapi pemulihan 60 peratus dijangka hanya berlaku menjelang akhir tahun.
Setiausaha Agung Malaysia Inbound Chinese Association, Dr. Cindy Seow berkata, trend pelancongan juga telah berubah kerana faktorĀ pandemik apabila orang ramai lebih cenderung kepada pelancongan kecil-kecilan secara kendiri melibatkan ahli keluarga atau sahabat handal.
“Terdapat cuti di Singapura, Thailand dan Vietnam pada Mei dan Jun, tetapi perubahan trend pelancongan menyebabkan pengusaha susah mendapat manfaat.
“Cuti musim panas pula akan berlaku di Amerika Syarikat dan England selepas Julai, kami berharap waktu ini akan menjana peluang perniagaan,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, pelancong Amerika Syarikat dan England bukanlah dalam kategori “jangka panjang”, tetapi tumpuan adalah pelancong China, Korea Selatan, Jepun dan India.
“Jika pelancong dari negara-negara ini tidak melawat, maka sukar untuk melihat perubahan yang besar,” katanya.
Beliau berkata, kenaikan harga bahan api kapal terbang dan penurunan kekerapan penerbangan merupakan anatara faktor yang menghalang pemulihan.
Menurutnya, hotel, destinasi pelancongan dan restoran pula berdepan kekurangan pekerja dan kos pekerja tempatan yang tinggi.
“Jika pelancong datang, sesetengah restoran mungkin sudah ditutup dan harga sesuatu perkhidmatan juga merupakan isu yang dipertimbangkan pelancong,” katanya.
Cindy pada masa yang sama menekankan kepentingan memastikan langkah pencegahan pandemik dilaksanakan secara berkesan untuk memastikan keyakinan pelancong.
“Jika penyakit tidak terkawal, keadaannya akan menyebabkan kita kehilangan lebih banyak pelancong,” katanya. – MalaysiaGazette