GEORGE TOWN – Sebanyak empat penerbangan akan disediakan setiap hari sebagai permulaan Laluan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) antara Pulau Pinang dan Singapura mulai esok.
Pengurus Kanan LTAPP, Mohd Nadzim Hashim berkata, ia membabitkan penerbangan yang berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang Changi serta Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
Antara syarikat penerbangan yang terbabit mengendali perkhidmatan itu ialah AirAsia, Malaysia Airlines, Scoot dan Singapore Airlines.
“LTAPP bersedia sepenuhnya untuk menerima kehadiran penumpang menerusi inisiatif VTL termasuk dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kami menjangkakan penambahan penumpang susulan hanya dua penerbangan antarabangsa di LTAPP sebelum VTL iaitu membabitkan penerbangan dari Singapura dan Taiwan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada sidang media sempena pelancaran VTL antara Pulau Pinang dan Singapura di Hotel Malaysia, Jalan Penang, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin.
Pesawat pertama dari Singapura dijangka tiba di LTAPP esok pada jam 1.15 tengah hari.
Sementara itu, rata-rata wakil syarikat penerbangan yang hadir menyatakan penjualan tiket bagi permulaan VTL Pulau Pinang- Singapura amat memberangsangkan.
Bagaimanapun, mereka tidak mendedahkan jumlah tiket penerbangan yang terjual setakat ini.
Pada 16 Februari lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong memaklumkan inisiatif VTL berjaya meningkatkan jumlah pengendalian penumpang antarabangsa dan seterusnya membantu meningkatkan sektor pelancongan dan ekonomi negara.
Sehingga 14 Februari, seramai 171,583 pengembara dari Singapura telah memanfaatkan inisiatif tersebut. – MalaysiaGazette