Home Seni Hidup Cafe Bus Pantai Klebang akhirnya dilupuskan

Cafe Bus Pantai Klebang akhirnya dilupuskan

Selepas hampir 10 tahun 'mencemari' Dataran 1Malaysia Klebang, restoran dalam bas atau dikenali Cafe Bus di Melaka akhirnya dilupuskan selepas tidak lagi mendapat sambutan dalam kalangan peniaga.

MELAKA – Selepas hampir 10 tahun ‘mencemari’ Dataran 1Malaysia Klebang, restoran dalam bas atau dikenali Cafe Bus di sini akhirnya dilupuskan selepas tidak lagi mendapat sambutan dalam kalangan peniaga.

Pengerusi Persatuan Peniaga Dataran 1Malaysia Klebang, Hasyim Husin berkata, langkah itu nyata memberi kelegaan kepada mereka kerana keadaan fizikal bas yang sudah reput dan berkarat sekaligus tidak lagi sesuai digunakan sebagai restoran.

Menurutnya, bas berkenaan hanya dijadikan restoran ketika awal pelancarannya pada 2014 yang hanya sempat bertahan selama beberapa bulan sebelum bertukar menjadi stor simpanan barang.

Hasyim Husin

“Waktu mula-mula Cafe Bus ini diperkenalkan kira-kira 10 tahun lalu, memang ia mendapat sambutan namun tidak bertahan lama selepas berlaku kerosakan demi kerosakan dalam tempoh beberapa bulan sehinggalah ia tidak lagi selamat untuk menampung pelanggan.

“Keadaan lantai yang mulai reput selain ruang yang sempit menyebabkan pelanggan tidak selesa berada lama di dalam bas sebaliknya mereka lebih suka makan di bawah khemah di luar bas yang terbuka sambil menikmati angin pantai.

“Jadi hari ini kita lega apabila akhirnya, baki lapan daripada 44 buah bas yang sebelum ini ‘mencemari’ Pantai Klebang ini akhirnya dilupuskan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut Hasyim yang mewakili 12 peniaga Cafe Bus dan 60 lagi peniaga makanan di dataran berkenaan berharap pihak berwajib dapat menyediakan kedai baharu yang bersifat binaan kekal.

Jelasnya, ini kerana kewujudkan khemah sedia ada selain ‘menyakitkan’ mata memandang, juga berisiko rosak jika diterbangkan ribut terutamanya ketika musim monsun.

“Sebenarnya, kami tidak mempunyai pilihan untuk membuka khemah di luar Cafe Bus walaupun sedar risiko terpaksa menanggung kerugian lebih RM10,000 setiap tahun apabila dilanda ribut yang merosakkan khemah peralatan memasak,” katanya.

Seorang lagi peniga Cafe Bus, Nurul Huda Ahmad, 31,  berharap peniaga diberikan tempat berniaga yang lebih sesuai sekaligus meningkatkan imej pelancongan negeri.

Mohd Yusof Abu Hassan

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar, Datuk Mohd Yusof Abu Hassan berterima kasih kepada pihak MBMB kerana akhirnya menamatkan episod jijik peniaga yang sekian lama terpaksa beroperasi dalam persekitaran yang busuk dan meloyakan.

“Saya sedih melihat keadaaan kepimpinan terdahulu yang mahu menjadikan Cafe Bus ini sebagai nostalgia menjadi sejijik ini dengan air sisa makanan berbau busuk dan meloyakan.

“Sebab itu, saya mencadangkan semua bas-bas ini segera dilupuskan dan kita juga telah usulkan projek pengindahan bagi kawasan tumpuan pelancong ini untuk dijadikan tapak berniaga yang lebih bersistematik,” katanya.- MalaysiaGazette