KUALA LUMPUR- Tinjauan yang dijalankan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mendapati, 77 peratus pemaju yang akan melancarkan hartanah pada masa akan datang, menjangkakan prestasi jualan mereka adalah di bawah 50 peratus.
Pemangku Presiden REHDA, Datuk NK Tong berkata hanya 5,303 unit habis dijual daripada 10,665 unit yang telah dilancarkan pada separuh kedua 2021.
“Meskipun keputusan itu mencerminkan cabaran yang dihadapi industri; jumlah itu adalah lebih baik berbanding separuh pertama 2021; hanya 4,560 unit habis dijual daripada 11,601 unit yang telah dilancarkan,” katanya dalam taklimat media Tinjauan Industri Hartanah REHDA Separuh Kedua 2021 dan Prospek Pasaran 2022.
“Pelancaran projek berkurangan sebanyak 3.0 peratus manakala prestasi jualan meningkat 11 mata peratusan berbanding suku terdahulu,” katanya sambil menambah bahawa hartanah kediaman membentuk sebahagian besar daripada pelancaran, manakala 0.3 peratus adalah hartanah komersial.
Keadaan pasaran yang tidak menggalakkan, kesan buruk daripada pandemik COVID-19 dan perintah kawalan pergerakan dinyatakan sebagai alasan responden tidak berminat dengan pelancaran itu.
Secara keseluruhannya, Tong berpandangan, pelabur akan mencari aset hartanah untuk mengurangkan impak inflasi, namun, tiada “rangsangan kepada pemaju” pada masa ini memandangkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) telah berakhir.
Beliau turut menegaskan mengenai bayangan peningkatan kos bahan binaan, sekali gus menyebabkan kos pembinaan menjadi lebih tinggi.
“Potensi kenaikan harga boleh memberi isyarat kepada dua perkara; pertama, inflasi dan kedua, pemulihan ekonomi. Kedua-dua (perkara) itu sebenarnya adalah baik kepada sektor hartanah, namun, kami masih perlu melihat bagaimana situasi itu berkembang,” katanya.
Beliau berkata situasi kekal mencabar dan pemaju hartanah akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk merangka strategi bagi memastikan isu perumahan akan dapat ditangani. – MalaysiaGazette