Home Nasional Penyelewengan RM42 juta SRC perlu dibicara semula – Shafee

Penyelewengan RM42 juta SRC perlu dibicara semula – Shafee

Peguambela Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Shafee Abdullah bercakap kepada media selepas anak guamnya mendengar rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd ketika di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 15 MAC 2022.

PUTRAJAYA – Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak akan mengemukakan permohonan dalam masa terdekat untuk kes penyelewengan dana RM42 juta milik anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd (SRC) dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi kelak.

Permohonan  terpaksa dilakukan walaupun pembelaan yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengakui banyak masa telah terbuang dalam mendengar perbicaraan tersebut sebelum hukuman disabitkan dan dijatuhkan hukuman oleh Hakim Datuk Mohd Nazlan Ghazali.

Kata Muhammad Shafee, alasan yang akan dikemukakan oleh pembelaan termasuklah peranan Mohd Nazlan yang merupakan Penasihat Undang-Undang Kumpulan Maybank ketika proses pinjaman wang bernilai RM4 bilion dari bank itu oleh 1MDB untuk mengambil alih Tanjong Energy Sdn Bhd (Tanjong) sekitar 2012.

Bagaimanapun sehingga ke hari ini, Mohd Nazlan yang kini sudah menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan tidak pernah mendedahkan perkara itu.

Pasukan pembelaan semalam ketika soal balas dengan saksi ke-12 prosiding 1MDB bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir ada mendedahkan perkara itu melalui minit mesyuarat Lembaga Pengarah Maybank pada 2012 yang menyebut tentang kehadiran Mohd. Nazlan.

Kata Muhammad Shafee, pihaknya akan memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti baru berkait dengan konflik kepentingan oleh Mohd Nazlan yang ketika itu masih lagi berkhidmat dengan Maybank yang telah mengeluarkan pinjaman kepada 1MDB manakala SRC pula anak syarikat firma pelaburan itu.

“Jika Mahkamah Persekutuan membenarkan bukti tambahan berkaitan peranan hakim Mohd Nazlan di Maybank maka ini boleh membawa kepada perbicaraan semula kes SRC.

“Kami sangat mengharapkan perbicaraan semula perbicaraan SRC ini,” katanya kepada pemberita di lobi Istana Kehakiman di sini hari ini.

Mohd Nazlan dipercayai terlibat sebagai penasihat undang-undang, setiausaha syarikat Maybank memainkan peranan dalam pinjaman Maybank kepada 1MDB untuk pengambilalihan Tanjong yang melalui pelbagai proses, jawatankuasa risiko dan keseluruhan lembaga (lembaga pengarah Maybank).

MalaysiaGazette juga difahamkan pembelaan akan memfailkan keterangan baharu dalam tempoh dua hari ini.

Kata Muhammad Shafee, ada kemungkinan kesilapan dalam pensabitan jadi pihak pembelaan akan melihat andai mahkamah boleh membebaskan dan membatalkan semua pertuduhan.

Untuk makluman, sabitan  dan hukuman tersebut dijatuhi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 dan keputusan tersebut telah dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021.

Sekali lagi pada 7 Disember 2021, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu iaitu penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar bersama keluarganya dengan Jho Low atau Low Taek Jho.

Dakwa pembelaan, Zeti bersengkongkol dengan Jho Low bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menyeleweng dana 1MDB dan anak syarikatnya SRC International.

Mahkamah pada masa itu menolak alasan Najib tiada keadaan istimewa yang membolehkan keterangan baharu itu diterima. -MalaysiaGazette