Home Nasional RM35 juta untuk pembaikan pos kawalan PGA di sempadan negara

RM35 juta untuk pembaikan pos kawalan PGA di sempadan negara

Jonathan Yasin

KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa komited untuk mempertingkatkan keupayaan keselamatan di sempadan negara serta memastikan keselamatan anggota Pasukan Gerak Am (PGA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terjamin.

Timbalan Menteri II Kementerian Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin berkata, bagi tujuan itu kerajaan telah memperuntukan RM35 juta melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin 2020 bagi pembaikan 109 pos kawalan keselamatan PGA di seluruh negara.

Katanya, peruntukan itu adalah kos bagi kerja pembaikan am, menaik taraf, meroboh serta membina semula pos PGA di sempadan negara.

“Pada tahun ini, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM8.8 juta di bawah inisiatif Bajet 2022 untuk pembinaan lapan pos kawalan PGA di Sabah dan Sarawak.

“Pembinaan pos-pos baru ini dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini,” katanya dalam sesi penggulungan perbahasan menjunjung kasih Titah Diraja di Parlimen tengah hari ini.

Selain itu, menurut Jonathan, PGA turut memprokehi kelulusan projek baharu kerja meroboh dan membina semula 18 pos PGA di Selangor dengan kos kira-kira RM6 juta. – MalaysiaGazette