IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong Choo Kiong memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa terdapat muslihat politik di sebalik pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia terhadapnya tiga tahun lepas.
Beliau berkata ada ura-ura yang mengatakan bahawa usul tidak percaya kepada Menteri Besar akan diadakan di Dewan Undangan Negeri untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu dan akan disingkir sebelum kejadian kes rogol tersebut.
“Selepas kejadian saya, ada seorang lagi Exco yang dituduh terlibat dalam kes rasuah… ini jelas menunjukkan ada pihak cuba menjatuhkan kami dalam kerajaan ketika itu.
“Tarikh kejadian iaitu 7 Julai 2019 adalah terlalu dekat dengan majlis angkat sumpah penggal kedua untuk Exco dan saya adalah seorang Exco pada masa itu,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh peguam Datuk Rajpal Singh pada prosiding membela diri hari pertama di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.
Yong juga berkata ada pihak iri hati dan cemburu dengan lima portfolio yang dipegangnya sebagai Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam serta Kampung Baru di seluruh Perak.
Beliau mendakwa mempunyai musuh politik kerana berasa sentiasa diekori kereta yang tidak dikenali ketika keluar dari pejabat di Bangunan Perak Darul Ridzuan atau semasa pulang ke rumah dan pernah melihat kenderaan itu diparkir di tepi jalan selain dimaklumkan oleh jiran bahawa ada kereta yang selalu datang serta meronda di depan rumahnya dan kawasan taman perumahan di Meru Desa Park sebelum kejadian.
“Isteri saya selalu terima panggilan telefon yang ganjil atau dicurigai… kadangkala mereka kata yang bukan-bukan dan kadangkala pemanggil mendiamkan diri. Kadang-Kadang ada orang datang menyamar sebagai pembanci penduduk dan sebagainya,” katanya.
Ketika disoal balas oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Azlina Rasdi, Yong berkata beliau banyak menerima surat layang namun tiada ugutan serius dan tiada laporan polis dibuat berhubung perkara itu.
Bagaimanapun, Yong enggan mendedahkan pihak yang didakwa iri hati terhadap beliau dan tiada bukti yang dikemukakan bagi menyokong kenyataan itu apabila Azlina meminta penjelasan mengenainya.
Too Choon Looi, 46, pula memberitahu mahkamah bahawa pada hari kejadian, beliau dan anaknya hanya keluar 10 minit untuk membeli makanan di sebuah restoran makanan segera secara pandu lalu selepas mereka pulang dari Kuala Lumpur bersama Yong serta seorang rakan pada 8.20 malam.
Too juga berkata mangsa dilayan dengan baik oleh ahli keluarganya namun pembantu rumah tersebut pernah bermasam muka dan tidak bekerja dengan bersungguh-sungguh selepas beliau tidak membenarkan wanita itu menggunakan telefon bimbit.
“Dia kata kalau saya tidak bagi telefon, dia tidak mahu kerja dan hendak balik ke kampung,” katanya sambil menambah beliau tidak menghantar pembantu rumah itu pulang kerana berpendapat warga Indonesia tersebut memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dan sudah melunaskan bayaran bagi kontrak kerja selama dua tahun.
Yong, 52, didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park antara 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019 mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah Tinggi sebelum ini memerintahkan Yong membela diri selepas memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Perbicaraan bersambung 31 Mac ini.- BERNAMA