Home Nasional Banjir di Selangor bukan kerana taburan hujan, tapi sistem perparitan tidak efisien

Banjir di Selangor bukan kerana taburan hujan, tapi sistem perparitan tidak efisien

Mohd Imran Tamrin

SHAH ALAM – Banjir yang berlaku di Selangor baru-baru ini bukan semata-mata kerana taburan hujan lebat atau luar biasa.

Sebaliknya, lebih kepada sistem saliran dan kawalan banjir di peringkat negeri yang diselia oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, di peringkat JPS terdapat banyak perkara berkaitan penambahbaikan yang perlu dilakukan termasuk sistem longkang sedia ada.

“Kadang-kadang kita lihat pembangunan dan juga sistem perparitan ini tidak setara.

“Pembangunan yang pesat, namun aliran dan juga agihan air berlebihan ini tidak ada sistem lebih efisien yang menyebabkan sering berlaku banjir kilat di kawasan bandar di Selangor.

“Maka, JPS perlu ambil perhatian ini apabila melibatkan bencana yang tidak dijangka ini. Jadi, kita kena sama-sama fikirkan,” katanya pada sesi perbahasan menyembah ucapan terima kasih serta menjunjung kasih ke atas titah Sultan Selangor pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor, hari ini.

Menurut Mohd Imran, kerajaan negeri tidak boleh bergantung harap kepada kerajaan Persekutuan semata-mata kerana perlu menjaga 14 negeri.

Katanya, Selangor, antara negeri maju dan mempunyai bandar yang berkapasiti pesat perlu bersedia juga dengan perkara ini, termasuk dari segi aset seperti bot, jet ski dan sebagainya. – MalaysiaGazette