Home Politik Berbahaslah, beri nafas baharu kepada UMNO – Tok Mat

Berbahaslah, beri nafas baharu kepada UMNO – Tok Mat

IMBAS SEMULA. Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. Foto HAZROL ZAINAL, 28 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang akan bermula hari ini dapat membawa cadangan dan lontaran pandangan untuk dikupas bersama-sama.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, banyak perkara boleh disentuh melibatkan kepentingan rakyat antaranya soal pengangguran, pendapatan, ekonomi, pelajaran dan sebagainya lagi.

“Kita alu-alukan pembahas yang mewakili negeri masing-masing. Berbahaslah…bawalah pandangan, bawalah segala cadangan agar ianya dapat dikumpulkan dan dapat dikupas bersama-sama demi untuk kita memberikan satu nafas baru kepada UMNO dan juga kepada rakyat seluruhnya.

“Apakah UMNO akan dapat memberikan satu tekad dan azam baru serta tawaran baru kepada rakyat Malaysia supaya Malaysia ini akan terus dapat dibangunkan dan kesejahteraan rakyat diberi keutamaan.

“Tidak ada parti lain yang akan dapat memberikan kesejahteraan, kestabilan melainkan UMNO/Barisan Nasional (BN),” kata Timbalan Pengerusi BN itu kepada UMNO Online.

Selain itu, Mohamad juga menyeru setiap pembahas memanfaatkan ruang dengan membahas dengan baik serta mengetengahkan isu-isu yang menyentuh kepentingan rakyat.

“Kepada pembahas berbahaslah dengan baik dan bincanglah dengan baik. Banyak isu-isu yang perlu diketengahkan yang perlu dibincangkan. Isu ekonomi, isu sosial, pengangguran, pelajaran, pendapatan dan lain-lain.

“Banyak isu yang perlu kita kupas walaupun kita membahas ucapan dasar presiden tetapi ianya tidak pula menegah kita daripada untuk mengupas iau ekononi, pelajaran, sosial, agama dan lain-lain,” katanya.

Mohamad mahu semua ahli UMNO bersama-sama berbincang dan memberikan pandangan terutama dalam usaha memastikan parti akan terus berjalan bergerak ke depan untuk kita sama-sama mengharungi pula satu lagi perkara besar yang perlu kita hadapi iaitu Pilihan Raya Umum ke-15.

Seterusnya, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan bersyukur atas kemenangan di dalam siri pilihan raya kecil dan juga pilihan raya negeri yang membuktikan parti kembali bangkit.

“Alhamdulillah kita telah mengharungi pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri, tahniah kepada semua…tahniah kepada Melaka memperolehi kemenangan yang begitu besar melebihi 2/3.

“Alhamdulillah syukur kehadrat Allah SWT. Dan dua tiga hari yang lalu kita juga telah mencapai satu lagi kemenangan di Johor. Kemenangan yang begitu manis begitu besar ertinya kepada kita BN dan UMNO hasil daripada azam kita untuk bangkit semula,” ujarnya. – MalaysiaGazette