KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan pengeluaran terakhir skim i-Citra RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Beliau bagaimanapun mempersoalkan kelewatan langkah itu diumumkan sedangkan sudah lama rakyat menderita akibat daripada kesan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.
“Wang simpanan persaraan semakin susut. Terima kasih la Perdana Menteri tadi petang lepaskan kita punya i-Citra.
“Banyak yang lega, apa lambat sangat umum? Sampai paras-paras ini (hidung), tapi tak apalah paras ini (hidung) timbul balik.
“Ramai yang timbul, terima kasih banyak Perdana Menteri ya,” katanya berucap merasmikan Pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO secara serentak di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), malam ini.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO juga hadir pada majlis yang sama.
Terdahulu, Perdana Menteri petang tadi mengumumkan kerajaan membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.
Menurut Perdana Menteri, kebenaran itu diberikan selepas kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak.
Mohamad juga mendedahkan orang Melayu sangat terhimpit ketika ini dengan 90 peratus usahawan bumiputera termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan risiko kegagalan perniagaan dan muflis.
“Pemilikan ekuiti korporat juga terus menurun dan amat rendah pada 17.2 peratus pada 2021 berbanding 23 peratus pada 2011 dan 19.3 peratus pada 1990.
“Bayangkan dalam tempoh 10 tahun, ekuiti bumiputera berkurangan sebanyak 5.8 peratus. Angka ini bakal terus menyusut jika tiada langkah drastik diambil,” katanya.
Katanya lagi, sekatan akibat pandemik Covid-19 turut menyebabkan ramai graduan bumiputera menganggur dengan mendadak setiap tahun.
“Ramai terpaksa bekerja dalam sektor kerja berkemahiran rendah dan sederhana, di bawah kelayakan akademik mereka atau underemployment,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: