KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersyukur dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluluskan pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Beliau menyifatkan keputusan membenarkan pengeluaran sekali gus RM10,000 itu sebagai kejayaan UMNO yang berusaha gigih untuk memastikan suara dan rintihan rakyat didengar oleh kerajaan.
“Hasil kesungguhan dan usaha secara istiqamah UMNO, akhirnya hari ini Perdana Menteri telah memutuskan untuk membenarkan pengeluaran sekali gus RM10,000 dari simpanan KWSP oleh mereka yang memerlukan.
“Saya sangat bersyukur kerana usaha gigih UMNO ini akhirnya membuahkan hasil yang diharapkan. Walaupun terdapat pelbagai alasan, kelengahan dan tentangan dari banyak pihak, UMNO tidak berganjak dari perkara yang benar dan bermanfaat.
“Perkara ini membuktikan dengan jelas UMNO adalah parti yang mendengar rintihan dan suara akar umbi UMNO dan UMNO akan mengusahakan segala yang baik. Lambat atau cepat, semua itu hanyalah proses yang mesti dilalui dengan kesungguhan dan ketegasan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya petang ini.
Kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi dalam sidang media khas, Ismail Sabri mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.
Perincian pengeluaran khas itu akan dibuat oleh Kementerian Kewangan dan KWSP.
Menurut Ahmad Zahid, UMNO nekad untuk terus mengusahakan lebih banyak dasar dan inisiatif yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan hidup masyarakat.
Katanya, kerana inilah UMNO sebenarnya, sebuah parti yang berdiri atas amal bakti dan parti yang hidup dengan nadi serta suara rakyat.
“Namun perkara ini, juga mengajar kita satu perkara penting. UMNO mesti menjadi parti yang kuat, stabil dan diyakini.
“Hanya dengan menjadi parti yang besar dan kuat, suara serta desakan UMNO tidak dipandang enteng oleh sesiapa pun yang menjadi kerajaan.
“Insya-Allah semoga perjuangan UMNO istiqamah dan kita akan dapat terus bersama-sama membawa kebaikan kepada masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette
Nanti kes mahkamah pun aakan berjaya juga
Sedia lah umno klu berkuasa semula nnti.. Rakyat akn mintak RM50k one off… Jngn bnyk alasan pulak yer nnti.. Kata jaga rakyat