KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) gesa semua pihak terutama badan bukan kerajaan (NGO) pengguna, Persatuan Pengguna peringkat Universiti dan Kolej dan masyarakat untuk merancakkan advokasi dan pendidikan berkenaan hak-hak pengguna.
Menurut kenyataan kementerian itu, ia boleh dilakukan dengan menyediakan saluran-saluran aduan dan tindakan untuk melindungi hak-hak mereka dari tip daya dan scam peniaga yang tidak beretika sera penyedia perkhidmatan yang tidak bertanggungjawab.
“KPDNHEP juga menyeru supaya taktik dan teknik penyampaian advokasi itu di pelbagaikan bersesuaian dengan teknologi masa kini dan kehendak semasa agar ianya berkesan dan cepat meresap menjadi budaya kepenggunaan yang sihat dan mampan,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, salah satu medium bar yang diambil oleh KPDNHEP adalah advokasi melalui pengangkutan awam.
Katanya, pelaksanaan itu dibuat melalui kerjasama dengan penyedia perkhidmatan pengangkutan awam, Mass Rapid Transit atau MRT.
Jelasnya, perkhidmatan MRT dipilih kerana ia mempunyai sebahagian besar pengguna khususnya di Lembah Klang sebagai medium pengangkutan harian dan merupakan model pengangkutan awam masa depan yang menyerapkan elemen digitalisasi secara meluas.
“Kerjasama ini dilihat bersesuaian dan mampu memberikan impak positif kerana capaian kepada pengguna yang dimiliki ole MRT dengan purata 62,000 penumpang sehari di mana pengguna
akan menghabiskan sebahagian masa mereka berada di dalam koc MRT untuk ke destinasi masing-masing setiap hari,” ujarnya.
Selain itu, tambahnya, KPDNHEP sentiasa mengenalpasti kaedah-kaedah lain untuk menyampaikan maklumat kepada pengguna, antaranya ialah kerjasama dengan influencer dan platform e-dagang di samping medium-medium konvensional bagi meluaskan hebahan dengan hak-hak pengguna dan contoh-contoh kes hak-hak tersebut dicabuli dan dimanipulasi.
Sementara itu, menurut kenyataan tersebut, tahun ini merupakan julung-julung kalinya Malaysia menyambut Bulan Pengguna Kebangsaan 2022 (PK) setelah Jemaah Menteri pada mesyuarat dalam Bulan Disember 2021 bersetuju mengisytiharkan Bulan Pengguna Kebangsaan pada 15 Mac setiap tahun.
“Mac adalah Hari Hak-Hak Pengguna Kebangsaan sempena Sambutan Hari Hak-hak Pengguna Sedunia atau World Consumer Rights Day sebagaimana yang ditetapkan oleh Consumers
International yang beribu pejabat di London,” ujarnya.
Katanya, pengisytiharan itu merupakan pengiktirafan dan komitmen Kerajaan bahawa pengguna di Malaysia merupakan satu entiti yang terpenting yang mana hak-hak mereka harus dirakyatkan dan dilindungi seperti juga hak-hak yang lain seperti wanita dan ibu yang dirayakan setiap tahun.
Kata kenyataan itu, tema yang dipilih bagi Sambutan Hari Hak-hak Pengguna Sedunia atau World Consumer Rights Day pada tahun ini ialah ‘Fair Digital Finance’ yang menjurus ke arah kesaksamaan kewangan digital, sebagai mana yang ditetapkan oleh Consumers International.
Berteraskan tema ini, katanya, ‘Digitalisasi Pengguna’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Pengguna Kebangsaan yang lebih menggambarkan senario perubahan trend pengguna di Malaysia ke arah urus niaga perkhidmatan dan pembelian menggunakan platform digital. – MalaysiaGazette