Home Utama Negara rugi RM6.1 bilion akibat banjir – KASA

Negara rugi RM6.1 bilion akibat banjir – KASA

Beberapa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu membawa bekalan makanan untuk diagihkan kepada penduduk setempat selepas berlakunya hujan berterusan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Seri Muda Seksyen 25, Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Situasi banjir yang melanda negara pada penghujung tahun lalu dan awal tahun ini mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian sebanyak RM6.1 bilion.

“Jumlah kerugian akibat banjir yang berlaku di beberapa buah negeri di Malaysia pada penghujung tahun 2022 dan awal tahun ini bernilai RM6.1 bilion.

“Ia merangkumi kerugian kepada tempat kediaman, kenderaan, sektor pembuatan, premis perniagaan dan sektor pertanian,” kata Timbalan Menteri Air dan Alam Sekitar, Datuk Dr Mansor Othman pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Teluk Intan, Ngar Kor Ming yang ingin kerajaan menyatakan kerugian sebenar yang dialami negara ekoran banjir baru-baru ini.

Dalam pada itu, Kor Ming turut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak menggunakan sepenuhnya Sistem Amaran Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) yang beroperasi pada awal tahun ini.

Mansor menjelaskan, sistem itu sedang mengalami penambahbaikkan oleh tiga jabatan antaranya Jabatan Parit dan Saliran, Jabatan Kaji Cuaca Malaysia dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).

“Memang betul kita tidak dapat memberikan satu jawapan yang tepat bila hujan, sistem itu boleh bagi amaran awal dalam satu dua hari tapi tidak boleh nak pin point kawasan mana yang akan berlaku banjir dengan tepat.

“Itu jadi satu isu yang besar sekarang. Contoh banjir yang berlaku di Kuala Lumpur, dia ada tiga lembangan di situ Sungai Baru, Sungai Bonus di mana hujan lebat berlaku tapi amaran awal keluar tidak pin point data daripada sistem itu.

“Ketiga-tiga jabatan ini sedang mengkaji secara mendalam dan berusaha dengan pihak luar untuk tambah baik sistem amaran yang sedang dibina,” katanya lagi.

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Negara mendedahkan jumlah kerugian tertinggi direkodkan bagi tempat kediaman iaitu sebanyak RM1.6 bilion dengan Selangor merekodkan jumlah kerugian terbesar iaitu RM1.0 bilion.

Ia diikuti Pahang dengan RM425.5 juta dan Melaka RM69.7 juta.

Untuk rekod, beberapa negeri sebelum ini mengalami banjir besar luar biasa pada Disember lalu terutama Selangor, Pahang, Johor, Terengganu dan Kelantan yang menyebabkan kerosakan harta benda pada skala besar.

Turut terjejas adalah Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur.

Sejumlah 48 kes kematian direkodkan manakala lima dilaporkan masih hilang dalam bencana banjir akhir tahun lalu. – MalaysiaGazette