Home Nasional Penerbangan sulung VTL P.Pinang – Singapura selamat tiba di LTAPP

Penerbangan sulung VTL P.Pinang – Singapura selamat tiba di LTAPP

Pesawat Air Asia AK1730 yang membawa penumpang VTL Singapura - Pulau Pinang selamat mendapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang petang tadi.

BAYAN LEPAS – Penerbangan pertama yang membawa masuk penumpang dari Singapura melalui Laluan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) petang tadi.

Penerbangan sulung AK1730 oleh AirAsia yang membawa 60 penumpang itu mendarat pukul 6.40 petang.

Pesawat itu menerima sambutan meriam air manakala penumpang diberikan cenderahati untuk meraikan acara istimewa itu.

Penumpang penerbangan pertama VTL Pulau Pinang – Singapura menerima cenderahati sebaik tiba di LTAPP hari ini.

Pulau Pinang adalah destinasi kedua Malaysia yang diperkenalkan selepas Kuala Lumpur di bawah program VTL Singapura-Malaysia.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, inisiatif itu satu langkah positif oleh kerajaan untuk merangsang trafik antaraangsa dan pelancongan sekali gus membawa kepada pertumbuhan ekonomi.

Jelas beliau, LTAPP sentiasa menjadi lapangan terbang kedua paling sibuk selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari segi trafik penumpang, justeru perluasan program untuk memasukkan Pulau Pinang akan menyumbang kepada pemulihan semula industri pelancongan kita.

“Pulau Pinang juga adalah pintu gerbang ke utara, justeru ini juga akan memanfaatkan negeri-negeri jiran seperti Kedah, Perak dan Perlis.

“Buat permulaan, kami menjangkakan antara 1,000 hingga 2,000 pergerakan penumpang VTL dalam minggu pertama operasi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Iskandar Mizal, penumpang di LTAPP diberikan jaminan perkhidmatan pantas dan selesa oleh pengendali yang memasang 10 reruai ujian saringan dan sebuah makmal lengkap untuk menghasilkan keputusan dengan segera di kemudahan baharu terbabit.

Semua penumpang VTL yang tiba perlu melalui ujian saringan mandatori COVID-19 oleh pengendali saringan kesihatan swasta.

Terdapat empat syarikat penerbangan yang beroperasi di bawah program ini iaitu Malaysia Airlines, AirAsia, Singapore Airlines dan Scoot. – MalaysiaGazette