GEORGE TOWN – Polis menafikan dakwaan tidak mengambil tindakan terhadap kes empat kanak-kanak didera oleh pengasuh yang tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian tersebut berlaku pada 2 Disember tahun lalu dan kes tersebut masih dalam siasatan pihaknya.
Jelas beliau, tangkapan terhadap wanita warga asing berusia 53 tahun itu dibuat pada 8 Disember lalu iaitu sehari selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa suspek mendera anak di bawah jagaannya.
“Polis menerima laporan yang mendakwa empat kanak-kanak itu didera ketika di bawah jagaan suspek sebelum menahan suspek di sebuah rumah di Taman Persiaran Minden Heights, Gelugor di sini.
“Susulan itu, suspek direman selama enam hari dan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.
“Suspek kini dalam tahanan di Penjara Jawi, Nibong Tebal selepas dijatuhi hukuman penjara tiga bulan atas kesalahan tidak memiliki dokumen penjalanan sah dan perintah pendakwaan akan dipohon bagi menuduh suspek susulan pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) hari ini mengeluarkan arahan bagi menuduh suspek mengikut Akta Kanak-kanak 2021,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini hari ini.
Tambah Soffian, pihaknya akan berbincang dengan pucuk pimpinan mengenai tindakan lanjut yang boleh diambil terhadap pemilik akaun Twitter yang menularkan video berkenaan.
“Kita menasihati orang ramai supaya menyemak dahulu sumber yang diperoleh sebelum memuat naik ke media sosial kerana ia boleh menjejaskan imej pihak lain,” kata beliau.
Semalam, tular tiga rakaman video berasingan yang berdurasi seminit di media sosial menunjukkan beberapa kanak-kanak dipukul seorang wanita.
Video berkenaan dimuatnaik pengguna Twitter Anne Faizuani yang mendakwa kesemua kejadian itu berlaku di sebuah pangsapuri di Gelugor.
Berdasarkan ciapan, wanita itu mendakwa video berkenaan dirakam anak tiri pengasuh terbabit berusia 11 tahun yang juga mangsa dera ibu tirinya.
Selain itu, Anne Faizuani turut meminta orang awam menularkan video klip di ciapannya bagi mendapatkan pembelaan terhadap mangsa dera wanita itu.
“Korang, tolong viralkan video ni. Dah report polis, tapi tak jalan. Polis bagi alasan kata pengasuh ni mental. Sampai ada baby, tulang tangan retak. Kes dera makin berleluasa,” tulisnya. – MalaysiaGazette