KUALA LUMPUR – Sukarelawan Kita Keluarga Malaysia bersedia untuk diaktifkan ke kawasan yang terjejas bencana alam kesan fasa peralihan monsun yang bermula semalam hingga pertengahan Mei depan.
Koordinator sukarelawan, Mohd Azizan Mohd Yusof berkata, antara 300 hingga 400 sukarelawan seluruh negara bersedia untuk menjayakan misi bantuan mangsa bencana alam seperti yang dilakukan ketika banjir di Pantai Timur baru-baru ini.
Katanya, iltizam semangat kekeluargaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyemarakkan lagi aktiviti sukarelawan mereka dalam memastikan tiada golongan terpinggir biarpun berada di pedalaman.
“Baru-baru ini sukarelawan Kita Keluarga Malaysia ke Terengganu dan Kelantan melaksanakan program membantu mangsa banjir termasuk gotong-royong membersihkan kediaman penduduk terutama golongan warga emas.
“Selain melakukan kerja pembersihan, sukarelawan turut mewujudkan Dapur Rakyat dengan memasak secara gotong-royong bagi penduduk kampung dan sukarelawan bertugas.
“Aktiviti ini akan berterusan dan kami bersedia digerakkan ke kawasan bencana susulan peralihan monsun yang dijangka menyebabkan banjir di beberapa kawasan di pantau barat semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Azizan, sukarelawan Kita Keluarga Malaysia terdiri dalam kalangan anak muda pelbagai bangsa di seluruh negara.
Jumaat lalu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah menyatakan Malaysia dijangka mengalami fasa peralihan monsun bermula semalam hingga pertengahan Mei depan, sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut sejak 3 November lalu.
Ketika fasa itu, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir, hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa yang singkat di kebanyakan kawasan di negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut menasihatkan orang ramai terutama penduduk yang berada di kawasan rendah dan berhampiran sungai agar sentiasa peka, berwaspada dan bersiap sedia menghadapi fasa peralihan monsun.
Ketua Pengarahnya Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh berkata, fasa yang berterusan sehingga pertengahan Mei depan menyebabkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
Situasi itu boleh meningkatkan kejadian banjir kilat dan sangat bergantung kepada keupayaan sungai, sistem saliran, kolam takungan, pintu air, rumah pam, pam mudah alih dan lain-lain infrastruktur banjir sedia ada.
Dalam pada itu Mohd Azizan mempelawa masyarakat terutama golongan muda untuk menyertai sukarelawan itu bagi menyemarakkan lagi semangat Keluarga Malaysia dalam kalangan generasi muda.
Katanya, mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat melalui https://www.facebook.com/demikeluargamalaysia. – MalaysiaGazette