Home Utama UMNO bukan itik patah kaki, cedera tapi masih boleh berlari – Tok...

UMNO bukan itik patah kaki, cedera tapi masih boleh berlari – Tok Mat

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan menyampaikan ucapan pada Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 16 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Kemenangan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO dalam beberapa pilihan raya selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) membuktikan parti itu bukan ‘itik patah kaki.’

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan menegaskan, walaupun UMNO-BN tewas sebelum ini namun parti itu masih mampu bangkit untuk memulihkan kepercayaan rakyat khususnya orang Melayu.

“Kembalinya sokongan bangsa Melayu kepada UMNO bukan kerana ubat mujarab daripada parti tertentu. Semuanya hasil daripada ikhtiar kita untuk menguatkan kembali parti. Kita membuktikan pada semua bahawa kita bukan ‘itik patah kaki.’

“Kita mungkin tercedera tetapi masih boleh berjalan dan berlari,” katanya berucap merasmikan Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri dan Wanita UMNO secara serentak di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) malam ini.

Pada 27 Januari lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengibaratkan UMNO sebagai ‘itik yang patah kaki’ pada PRU-14 namun lupa daratan apabila telah sembuh.

Menurut Abdul Hadi, Pas bukan mahu mengajar itik berenang sebaliknya untuk menyelamatkan itik yang patah kaki dan mendakwa UMNO meninggalkan parti Islam itu apabila kembali sembuh.

Mohamad seterusnya mengingatkan Abdul Hadi bahawa apa pun gelaran yang dilemparkan kepada UMNO namun parti Melayu itu akan terus menjadi ‘kaki dan tangan rakyat’.

“Kepada mereka yang mengumpamakan UMNO ini seperti itik yang patah kaki kami di sini ingin mengingatkan, gelarlah apa yang sedap sebutannya di bibir.

“Tetapi UMNO akan terus menjadi ‘kaki dan tangan kepada rakyat’, malah buat masa ini, UMNO adalah ‘kaki dan tangan’ kepada kerajaan tumpangan yang ada sekarang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette