Home Nasional 400,000 mahasiswa B40 dapat tablet PerantiSiswa Jun ini

400,000 mahasiswa B40 dapat tablet PerantiSiswa Jun ini

Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Seramai 400,000 mahasiswa daripada golongan B40 akan mula mendapat peranti tablet beserta jalur lebar bermula Jun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, program di bawah Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia itu akan diberikan kepada mahasiswa daripada keluarga yang berpendapatan di bawah RM4,850 sebulan.

Menurutnya, pemberian itu melibatkan mahasiswa di peringkat diploma, diploma lanjutan dan ijazah sarjana muda daripada universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS).

Annuar berkata, permohonan akan dibuka secara dalam talian bermula April ini.

“Proses permohonan akan dibuka melalui sistem terlaras dan sebuah unit dibentuk untuk mengendalikan pangkalan data dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi untuk mendapatkan nama mereka yang layak

“Ia juga membuka ruang kepada mereka yang layak mendapatkan tawaran kerana mereka layak mendapat kemudahan ini.

“Kita mensasarkan mulai pertengahan bulan April dapat disiapkan kaedah permohonan secara dalam talian bagi memudahkan bagi urusan logistik,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Tambah Annuar, jika ada lebihan, 10 peratus daripada peranti itu akan diberikan kepada kes tertentu sepertiĀ  pelajar miskin di peringkat sijil dan lepasan ijazah.

Menurutnya, apabila permohonan dalam bulan April sehingga Mei ditapis maka fasa pertama pemberian dapat dilaksanakan seawal minggu pertama bulan Jun.

Permohonan yang tidak lengkap, kes rayuan dan tercicir akan dilaksanakan pada fasa kedua iaitu dalamĀ  tempoh 60 hari selepas fasa pertama.

“Kita akan mengadakan satu kaedah rayuan bagi kes-kes yang mempunyai merit dan kita harap ia dapat kerjasama untuk dibuat pengesahan oleh pihak antaranya oleh wakil rakyat, pegawai daerah dan pegawai universiti.

“Dasarnya ialah tidak ada seorang pun yang berkelayakan harus tertinggal daripada mendapat kemudahan ini,” kata Annuar.

Beliau memberi jaminan peranti yang diberikan kepada mahasiswa terbabit adalah berkualiti mengikut spesifikasi yang ada dalam pasaran.

Pihaknya, tidak akan berkompormi terhadap kualiti peranti terbabit kerana ia amat diperlukan pelajar dalam melengkapkan pembelajaran mereka.

“Kita telah menetapkan beberapa spesifikasi minima iaitu peranti dengan saiz skrin tidak kurang daripada 10.1 sentimeter, dilengkapkan dengan keyboard dan stylus dan berkapasiti tidak kurang 4 ram,” katanya.

Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia diumumkan dalam Belanjawan 2022.

Kerajaan telah memperuntukkan RM450 juta bagi melaksanakan bantuan tersebut.

Selain peruntukan daripada kerajaan, syarikat telekomunikasi juga turut menyumbang bagi pelaksanaan pakej ini iaitu sebanyak RM65 juta.-MalaysiaGazette