Home Politik Ada perwakilan buat pertemuan sulit, rancang ganggu persidangan Puteri UMNO

Ada perwakilan buat pertemuan sulit, rancang ganggu persidangan Puteri UMNO

Asuma Mohamed Sali

KUALA LUMPUR – Wujud gerakan yang dirancang untuk mengganggu-gugat perjalanan Persidangan Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO hari ini, kata setiausaha pergerakannya, Asuma Beevi Mohamed Sali.

Menurut Asuma, lewat malam tadi beliau telah dikejutkan dengan kiriman rakaman mengenai satu perjumpaan sulit yang dihadiri oleh perwakilan-perwakilan Puteri UMNO yang menyertai persidangan.

“Saya cukup kecewa sebagai pemimpin Puteri UMNO pusat, kita sebenarnya ada banyak platform untuk menyatakan pandangan atau melahirkan rasa tak puas hati.

“Saya sebenarnya malu, sebagai setiausaha pergerakan penggal ini, mungkin ini adalah kegagalan saya yang tidak dapat memberi satu ‘channel‘ untuk mereka meluahkan pandangan.

“Saya mungkin saya dah beri ruang secukupnya untuk meluahkan rasa dan pendapat tetapi mungkin ia tidak cukup sehingga anda memilih perjumpaan sulit untuk meluahkan pendapat dalam bentuk yang bakal mencalar perhimpunan hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, Asuma memohon perjumpaan sulit yang diadakan semalam tidak terus dipanjangkan kerana beliau sudah mempunyai butiran lengkap mengenai apa yang berlaku.

Asuma berkata, beliau juga diminta untuk membawa bukti-bukti tersebut kepada Lembaga Disiplin UMNO bagi tindakan sewajarnya.

“Saya cuma mohon perkara ini berakhir malam tadi, tidak dipanjangkan kerana saya telah dibekalkan dengan senarai nama kehadiran, butiran lengkap perbincangan, imbuhan dan apa yang berlaku (iaitu) perancangan untuk mengganggu-gugat perjalanan persidangan Pergerakan Puteri UMNO.

“Saya juga diminta untuk membawa segala bukti ini kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk diambil tindakan sewajarnya, oleh itu saya mohon kepada semua 191 bahagian, letakkan diri kita di situ sebelum buat apa sahaja keputusan yang boleh mengganggu-gugat parti keramat hari ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette