KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Klang (DAP), Charles Santiago melahirkan rasa hairan bagaimana Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh memberi alasan kelewatan menyiasat Datuk Tawfiq Ayman yang didakwa telah menerima dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Soal Charles bagaimana alasan seperti salah seorang pegawai penyiasat positif Covid-19 sehingga menyebabkan pasukan itu lewat menyiasat tuduhan ini.
“Anda (PDRM) tidak boleh guna alasan seperti ini, soalnya tidak adakah pegawai lain untuk gantikan yang positif Covid-19 dalam pasukan? Mesti ada yang lain boleh ganti untuk ke Singapura bukan?
“Polis Singapura telah beri tarikh 8 dan 9 Februari tetapi pasukan polis Malaysia hanya beri maklum balas pada 10 Mac dengan mohon masuk ke Singapura pada pertengahan atau hujung Mac.
“Ini adalah satu kes berprofil tinggi, tangguh siasatan bermakna tidak ada kemahuan politik dari kerajaan untuk siasat. Ada dakwaan mengatakan bekas Gabenor, Zeti dan suaminya Tawfiq terlibat dengan penggubahan wang haram.
“Polis sepatutnya bertindak balas menyiasat suka atau tidak,” katanya kepada sebuah portal berita hari ini.
Semalam Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pasukan penyiasat PDRM sepatutnya ke Singapura pada Disember dan Februari lalu.
Tetapi pergerakan itu tidak dapat dilakukan disebabkan beberapa faktor termasuk penggantungan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia-Singapura, selain pegawainya positif Covid-19 selepas menjadi kontak rapat.
Mohd Kamarudin menjelaskan, sebarang kenyataan yang dibuat sebelum ini mengenai siasatan polis terhadap kes membabitkan Tawfiq dan perjalanan pasukan penyiasat PDRM ke Singapura tidak bermaksud menyembunyikan sebarang fakta atau untuk mengelirukan mana-mana pihak.
Ahad lepas, sebuah portal berita tempatan melaporkan polis di Singapura menangani segera segala permintaan Bukit Aman untuk mendapatkan bantuan dalam siasatan berkaitan 1MDB terhadap Tawfiq, suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.
Pasukan Polis Singapura (SPF) dilaporkan berkata, terdapat pelbagai urusan surat-menyurat antara kedua-dua pihak sejak Disember lalu susulan permintaan PDRM menghantar pegawainya ke republik itu berhubung siasatan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura mengemukakan cadangan terbaharu supaya PDRM menghantar pasukannya ke republik itu antara 8 dan 9 Februari lalu.
Bagaimanapun, menurut laporan itu, Bukit Aman hanya memberi maklum balas kepada CAD pada 10 Mac lalu apabila memohon untuk melakukan lawatan itu antara pertengahan hingga hujung Mac.
Sebelum ini Jabatan Peguam Negara mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan dan tindakan lanjut berhubung isu penerimaan dana 1MDB membabitkan akaun Iron Rhapsody Ltd dan Cutting Edge Industries Ltd milik Tawfiq Ayman z dan Samuel Goh.-MalaysiaGazette
Dalam Bab ni aku setuju dgn komen wakil DAP ni…bab DS Najib, bab Rozana kaa..cepat jaa…siap ambuh lg kediaman mrk. Ni pembayar cukai tanya ni bila nak ambush rumah Zeti??? Tp ok lagi lah alasan Covid..daripada bekas KPN yg bg alasan dah jadi beruang tu..lagi lawak..