KUALA LUMPUR – Kebenaran pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM10,000 yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam bukan berlandaskan politik.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengumuman yang dibuat itu mencerminkan kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob benar-benar memahami denyut nadi rakyat.
“Bagi saya ia tidak pernah terlambat, apa yang paling penting bagi saya ada positifnya di mana kita tidak mempolitikkan isu ini, kalau PM hendak mempolitikkan KWSP ini sudah tentu ia diumumkan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mungkin kita boleh menang dengan lebih besar.
“Tetapi bagi saya apabila PM umumkan sekarang (dan) bukannya kemudian atau bukan sebelumnya, ia menunjukkan beliau benar-benar menyantuni rakyat bawahan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam tadi.
Jelas Asyraf Wajdi, apa yang berlaku ketika pandemik Covid-19 melanda negara adalah realiti sebenar rakyat yang begitu terdesak dan amat memerlukan aliran kewangan demi meneruskan kelangsungan hidup.
Tambahnya, langkah yang diambil oleh kerajaan dengan mengumumkan pengeluaran khas KWSP juga bukan lah perjuangan untuk mendapatkan populis.
“Ini adalah realiti rakyat yang amat terdesak dan memerlukan dan kita pun sering kali menyatakan berilah peluang kerana mereka mahu meneruskan kelangsungan hidup.
“Mereka mahu membuka lembaran baharu kehidupan dan masih lagi tercari-cari untuk mendapatkan peluang pekerjaan. Mereka ini masih mempunyai simpanan yang besar dalam KWSP dan duit ini lah yang diperlukan untuk melunaskan komitmen serta hutang tertunggak,” ujarnya.
Justeru, Asyraf Wajdi berkata, apa yang diumumkan oleh kerajaan itu benar-benar memberi kelegaan dan sinar kepada rakyat berdasarkan respons positif di laman sosial.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan akhirnya bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 dengan perincian yang akan dibuat oleh Kementerian Kewangan dan KWSP.
Menurut Ismail Sabri, kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu. – MalaysiaGazette