KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai prestasi UMNO dalam kerajaan yang tidak menunjukkan keyakinan diharapkan sebagai tidak tepat.
Jelas Mahdzir, setiap menteri sememangnya mengetahui peranan serta tugasan masing-masing dan Mohamad tidak boleh melihat perkara itu dari sudut orang luar.
“Saya ingat mungkin beliau cakap semalam tak ikut, bukan dalam teks. Tak wajarlah untuk beliau kata begitu kepada menteri.
“Sebenarnya semua menteri UMNO telah cuba yang terbaik untuk memberi apa jua perkhidmatan (jadi) saya fikir kenyataan Tok Mat itu sendiri tidak tepat lah. Beliau tidak boleh ambil dari angle sebagai orang yang (berada) di luar kerana kita tahu apa yang kita buat, kita usaha sebab yang penting adalah rakyat.
“Tambahan pula kita masih lagi dalam pandemik Covid-19, kita tahu bahawa rakyat mahu lihat macam mana (menteri) nak tolong mereka berkaitan pemulihan ekonomi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pameran Korporat Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, setiap menteri yang memegang portfolio mereka juga lebih arif mengenai tanggungjawab masing-masing di kementerian.
“Saya sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar, kita tahu apa kita punya naratif yang penting, tiap-tiap daripada menteri itu (juga) tahu tanggungjawab dan tugasan mereka untuk bawa perkara yang berkaitan dengan kementerian,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai desakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Mahdzir berkata, pilihan raya hanya boleh diadakan setelah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Justeru katanya, Perdana Menteri yang juga merupakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon akan menasihati YDPA terlebih dahulu mengenai hal-hal berkaitan.
“PRU15 ini adalah perkara besar, rakyat mesti hormati sistem beraja kerana hak pembubaran ini adalah hak Tuanku, hak YDPA setelah Tuanku perkenan apa yang dibawa oleh Perdana Menteri.
“Jadi untuk sampai kepada YDPA, perdana menteri sekarang ini adalah naib presiden, beliau boleh berbincang denganĀ presiden dan juga kepimpinan UMNO.
“Kita bincanglah secara musyawarah, bila yang sesuai nak buat PRU15, kalau kita dah bersetuju nak buat PRU15, barulah Perdana Menteri mempersembahkannya kepada YDPA, kita tak payah menimbulkan polemik pasal bila nak buat PRU15 ini,” ujarnya.
Tambah Mahdzir lagi, solusi paling utama adalah membincangkan mengenai PRU15 terlebih dahulu dalam kalangan parti selain menghormati hak YDPA.
“Kita bincang dahulu, tak payah nak polemik. Tak payah bising-bising kerana riuh-rendah ini tiada gunanya,” katanya.
Mohamad, dalam ucapan perasmian Perhimpunan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri sempena Persidangan Agung UMNO 2021 berkata, prestasi UMNO dalam kerajaan tidak menunjukkan keyakinan yang diharapkan, namun mengakui ada yang mencuba dan melakukan sehabis baik. – MalaysiaGazette