Home Politik Noraini harap Zahid cadangkan PRU-15 kepada PM pada waktu yang tepat

Noraini harap Zahid cadangkan PRU-15 kepada PM pada waktu yang tepat

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (kiri) pada Perhimpunan Agung Wanita sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 17 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diharap mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada waktu yang tepat.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, parti itu perlu membuat keputusan matang dalam masa yang sama mempertimbangkan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara blok kerajaan dengan blok pembangkang yang akan tamat pada 31 Julai ini.

“Justeru, sebarang tindakan dan keputusan kita hendaklah dibuat secara berhemah, matang dan bijaksana. Wanita UMNO percaya, Datuk Seri Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi akan membuat keputusan yang terbaik dalam mencadangkan masa yang tepat dan sesuai kepada YAB Perdana Menteri selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar perasmian Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2021 dan Ahmad Zahid juga hadir menyaksikannya hari ini.

Kata Noraini lagi, Wanita UMNO sentiasa bersedia untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa sahaja.

Perkara ini jelas beliau, dapat dibuktikan menerusi kemenangan semua calon Wanita UMNO yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

“Kejayaan-kejayaan ini, kita juga telah melihat bahawa penyokong-penyokong kita begitu bersemangat untuk menghadapi PRU-15,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

+ posts