Home Nasional Orang awam digesa salur maklumat pencerobohan hutan

Orang awam digesa salur maklumat pencerobohan hutan

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) akan melaksanakan tindakan perundangan terhadap terhadap penceroboh hutan di Pahang.

KUANTAN – Orang awam digesa tampil memberi maklumat tentang aktiviti pencerobohan hutan tanpa kebenaran dan memindahkan hasil hutan di Pahang kepada pihak berkuasa.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nor Azirim Ahmad berkata, pihaknya akan melaksanakan tindakan perundangan terhadap terhadap individu yang terlibat dalam kegiatan haram itu.

“Sebenarnya agak sukar bagi jabatan untuk memastikan tidak berlaku pencerobohan dan memindahkan hasil hutan tanpa adanya kerjasama daripada masyarakat.

“Maka masyarakat juga perlu perlu bekerjasama dengan JPNP dengan memberikan maklumat kegiatan menceroboh hutan tanpa kebenaran dan memindahkan hasil hutan,” katanya.

Tambahnya, melalui kerjasama yang diberikan oleh masyarakat akan dapat mencegah kemusnahan hutan dan mengelak kerajaan negeri daripada gagal menerima bayaran cukai.

Dalam pada itu, tambah beliau, pihaknya membuat risikan dan pemantauan secara berkala untuk mencegah sebarang kegiatan pencerobohan dan juga kes berkaitan kesalahan hutan yang lain.

Terdahulu pihaknya telah melakukan serbuan selepas membuat pemantauan menerusi imej satelit kawasan Hutan Simpan Jerantut baru-baru ini.

“Pemantauan di kawasan Hutan Simpan Jerantut telah dilakukan bersama kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Jerantut dengan menggunakan imej satelit,” katanya ketika dihubungi.

Hasil pemantauan, katanya, berlaku pencerobohan dan mendapati kegiatan memperbesarkan kawasan penanaman kelapa sawit tanpa kebenaran yang telah diusahakan pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut Nor Azirim, dalam serbuan itu pihaknya menyita jengkaut dan kenderaan pacuan empat roda yang berada dalam Hutan Simpan Jerantut. – MalaysiaGazette