KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpuas hati dengan persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO yang bermula pagi tadi.
Dalam masa yang sama beliau berkata, para pembahas untuk ketiga-tiga sayap berkenaan memberi cadangan dan pandangan yang bernas khususnya demi kelangsungan parti.
“Saya sempat meninjau persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri. Saya lihat mesyuarat berjalan dengan lancar, saya dapat mendengar beberapa pembahas-pembahas daripada tiga sayap tulang belakang iaitu Wanita khususnya, pembahas dapat membahas dengan baik dan memberikan cadangan-cadangan baik untuk masa depan parti saya berpuas hati dengan perjalanan persidangan,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui pemberita selepas melawat persidangan Perhimpunan Agung sayap-sayap UMNO yang berlangsung sejak pagi tadi.
Persidangan UMNO bagi ketiga-tiga sayap parti berkenaan kali ini banyak menyentuh tentang persediaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Dalam masa yang sama, ketiga sayap berkenaan menyatakan kesediaan menempuh pilihan raya sekiranya diadakan dalam masa yang terdekat khususnya membantu dalam menggerakkan jentera parti.
Sebagai rekod, Perhimpunan Agung UMNO 2021 bagi sayap UMNO dirasmikan oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hassan. – MalaysiaGazette