Home Seni Hidup 11 tahun berjuang demi segulung ijazah, Juliza berjaya bergelar graduan

11 tahun berjuang demi segulung ijazah, Juliza berjaya bergelar graduan

Juliza Ameruddin, 36 tahun, berkerusi roda ketika hadir ke majlis graduasinya hari ini

KUANTAN – Selama 11 tahun bergantung dengan tong oksigen kerana asma yang kronik tidak menghalang Juliza Ameruddin, 36, menggenggam segulung ijazah.

Kegigihan yang dibuktikan oleh graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP) apabila Juliza berada di atas pentas di Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 dalam keadaan tong gas bergantung.

Wanita cekal ini berkata,  penyakit asmanya semakin kronik menyebabkan dia perlu membawa tong gas ke mana-mana bagi memudahkan penafasannya.

Beliau mengidap penyakit Brittle Asthma sejak tahun 2007, namun pada tahun 2010 penyakitnya semakin kronik sehingga mengakibatkan beliau diintubasi sebanyak 115 kali di hospital.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Teknologi Grafik dan Multimedia), beliau mula mendaftar di UMP pada tahun 2009 dalam keadaan sihat, tetapi pada tahun ketiga pengajian keadaan semakin merosot mengakibatkannya lumpuh dan menerima kad OKU (Orang Kurang Upaya).

“Sejak kejadian itu saya kerap menangguhkan pengajian, namun semangat untuk belajar tidak pernah padam dan saya amat terharu UMP telah memberi peluang untuk menyambung pengajian setelah menangguh pengajian selama enam tahun kerana masalah kesihatan,” katanya.

“Sepanjang pengajian, UMP banyak membantu dari segi kewangan, logistik untuk kelas, memberi peluang ruang peniagaan di dalam kampus dan lain-lain lagi, dan pihak fakulti juga banyak membantu sepanjang pengajian saya dengan menyediakan  kelas secara dalam talian.

“Selepas tamat pengajian pada Januari 2021, saya telah ditawarkan berkerja di UMP Holdings sebagai Pembantu Strategik Korporat, namun selepas setahun, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan atas masalah kesihatan dan menumpukan pada bidang perniagaan makanan yang diusahakan,” katanya ketika ditemui di sini.

Anak jati Kuala Lumpur ini turut mengimbas kenangan sewaktu berada di hospital dan keadaannya sangat kritikal seolah-olah tiada harapan untuk sembuh.

“Namun, berkat kesabaran dan doa semua, alhamdulillah masih diberi peluang untuk bernafas sehingga kini.

“Sumber inspirasi dan kekuatan saya sudah tentulah kedua ibu bapa iaitu Ameruddin Zakaria dan ibu, Nuraini Mat Piah yang telah banyak berkorban membesarkan saya sehingga berjaya,” ujarnya.

Juliza berharap perjuangannya ini dapat memberikan inspirasi kepada masyarakat bahawa sakit bukan halangan untuk terus berjaya. – MalaysiaGazette