Home Ekonomi Dagangan Malaysia naik 17.5% kepada RM184.8b pada bulan Februari

Dagangan Malaysia naik 17.5% kepada RM184.8b pada bulan Februari

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah dagangan meningkat kepada RM184.8 bilion, 17.5 peratus lebih tinggi daripada RM157.3 bilion pada Februari 2021 dan lebihan dagangan, dengan nilai RM19.8 bilion, merupakan lebihan dagangan ke-22 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Prestasi eksport Malaysia mengekalkan pertumbuhan dua digit pada Februari 2022, meningkat 16.8 peratus kepada RM102.3 bilion, tahun ke tahun.

Eksport merekodkan peningkatan tahun ke tahun yang ke-18 bulan berturut-turut sejak September 2020, selari dengan peningkatan eksport, import juga mencatatkan pertumbuhan dua digit 18.4 peratus daripada RM69.7 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM82.5 bilion.

Melengkapkan prestasi pertumbuhan eksport dan import, jumlah dagangan berkembang 17.5 peratus kepada RM184.8 bilion berbanding Februari 2021.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif pada Februari 2022 disokong oleh kedua-dua eksport domestik dan eksport semula.

Eksport domestik berjumlah RM84.2 bilion, menyumbang 82.4 peratus kepada jumlah eksport dan meningkat 17.9 peratus, manakala eksport semula mencatatkan RM18.0 bilion, meningkat 11.7 peratus berbanding bulan yang sama tahun lepas.

Sementara itu, import pada Februari 2022 bernilai RM82.5 bilion, mencatatkan peningkatan 18.4 peratus berbanding Februari 2021.

Berbanding Januari 2022, prestasi eksport, import dan jumlah perdagangan menunjukkan penurunan masing-masing 7.9 peratus, 10.8 peratus dan 9.2 peratus.

Sebaliknya, lebihan dagangan meningkat 6.6 peratus, tahun ke tahun.

Menurutnya, pertumbuhan tahunan yang signifikan dalam eksport digambarkan melalui 149 daripada 255 kumpulan barangan menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Bagi import, 159 daripada 256 kumpulan merekodkan pertumbuhan positif.

Jabatan Perangkaan Malaysia juga melaporkan bahawa peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke China (+RM2.5 bilion), diikuti Singapura (+RM1.8 bilion), Kesatuan Eropah (+RM1.4 bilion), Vietnam (+RM1.4
bilion), Thailand (+RM1.2 bilion) dan Jepun (+RM911.1 juta).

Sementara itu, selepas menjadi penyumbang utama kepada peningkatan import untuk ke-12 bulan berturut-turut, kedudukan China telah diambil alih oleh Singapura yang meningkat RM2.3 bilion, diikuti Amerika Syarikat (+RM1.8 bilion), Indonesia (+RM1.3 bilion), Taiwan (+RM1.1 bilion), China (+RM957.5 juta) dan Kesatuan Eropah (+RM847.2 juta).

Mengulas lebih lanjut mengenai eksport, peningkatan mengikut produk didorong oleh barangan elektrik & elektronik (+RM8.1 bilion); minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM2.3 bilion); kimia & bahan kimia (+RM1.5 bilion); gas asli cecair (+RM1.3 bilion); barangan perkilangan logam (+RM1.2 bilion); dan barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.2 bilion).

Sementara itu, kenaikan import dicatatkan bagi barangan elektrik & elektronik (+RM4.5 bilion); kimia & bahan kimia (+RM2.0 bilion); keluaran petroleum (+RM1.8 bilion); jentera, kelengkapan & peralatan (+RM1.1 bilion) dan minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM771.7 juta).

Pertumbuhan import mengikut Penggunaan Akhir disokong oleh kenaikan permintaan bagi barangan perantaraan, barangan penggunaan dan barangan modal.

Di samping itu, prestasi keseluruhan bagi Januari hingga Februari 2022, jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan kekal kukuh dengan pertumbuhan dua digit.

Jumlah dagangan meningkat 21.4 peratus, disokong oleh perkembangan eksport (+20.4%) serta import (+22.6%).

Pada masa yang sama, lebihan dagangan mencatatkan nilai yang lebih tinggi pada RM38.3 bilion. – MalaysiaGazette