KUALA LUMPUR – Kerajaan ‘tebuk atap’ atau ‘kerajaan pintu belakang’ tidak perlu dikaitkan dengan UMNO.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, bukan UMNO yang membuka ruang kepada kewujudannya sebaliknya ia dilakukan oleh ‘sampah-sampah’ dalam parti.
UMNO, katanya, mempunyai prinsip, maruah dan kekuatan apatah lagi tidak boleh diugut dengan ‘tekan butang di sana dan tekan butang di sini’ bukan parti picisan atau seperti ‘itik patah kaki.’
“UMNO dan BN bukan gila kuasa seperti dakwaan mereka. Tabur wang sana sini untuk kekalkan penguasaan dalam kerajaan. Tabur janji palsu, fitnah dan tohmahan yang memburukkan orang lain.
“Rakyat bukan buta dan pekak yang boleh diperdaya dengan mudah. Itu tanda mereka yang sebenarnya gila kuasa,” katanya dalam ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, UMNO bernasib baik kerana agenda parti lebih diutamakan oleh semua ahli Parlimennya dengan dukungan kepimpinan parti bagi menamakan seorang pemimpin parti untuk mengetuai kerajaan.
Katanya, parti dan kerajaan bergerak seiringan namun parti-parti lain di luar kepompong UMNO dan BN turut diperkirakan kepentingannya bagi penyertaan mereka.
“Biar pun pemimpin utama kerajaan dari UMNO namun hakikatnya UMNO bukan parti dominan. Dasar-dasar penting biar pun tidak disanggah secara terbuka namun di belakang suara-suara sumbang sering kedengaran.
“Malah terdapat arahan-arahan dan minit-minit tertentu untuk kepentingan rakyat tidak pun diendahkan. Terdapat skru-skru yang wajib diperketatkan. Longkang-longkang yang tersumbat mesti dibersihkan dari sampah sarap,” ujarnya. – MalaysiaGazette