PEJAM celik tanpa disedari, kita telah pun menuju pengakhiran bulan Syaaban, satu bulan Islam sebelum bergantinya Ramadan. Malah, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, kita digalakkan untuk berdoa supaya Allah SWT memberkati kita pada bulan Rejab dan Syaaban lantas dipertemukan dengan bulan Ramadan.
Ramadan, bulan yang cukup luar biasa. Ganjaran dan tawaran yang lumayan disediakan oleh Allah SWT menanti setiap hamba-hamba-Nya yang beriman. Ramadan bukan sekadar kita menahan lapar, tetapi falsafah puasa itu mencakupi segenap ruang lingkup kehidupan manusia.
Ia berkisar bagaimana Tuhan ingin mendidik manusia supaya tidak menuruti gelojak nafsu dan mensyukuri setiap pemberian-Nya yang bertamu. Dalam situasi pandemik yang lalu, Ramadan bagaikan tiada erti apabila kebanyakan 'penyeri'nya disekat dan dihalang. Misalnya, bazar yang menjadi pusat jualan makanan untuk berbuka puasa dihadkan pengoperasian. Ibadah solat terawih di masjid atau surau juga tidak semeriah dahulu.
Masjid atau surau mempunyai kuota dan had tertentu jemaah yang boleh menyertai ibadah saban tahun tersebut. Acara berbuka puasa beramai-ramai juga tidak boleh dijalankan. Semua ini tidak lain tidak bukan adalah bagi menyekat sebarang risiko yang membolehkan penyebaran virus Covid-19 yang mengancam kesihatan diri.
Namun, realiti kini sudah berubah. Status pandemik di negara sedang beralih ke fasa endemik. Wabak ini akan terus kekal aktif dan wujud dalam lingkungan kehidupan manusia. Kemunculan ikhtiar pencegahan seperti vaksin pula merubah sifat wabak ini menjadi biasa dan tidak lagi bergelar ancaman yang begitu serius.
Ramadan dengan kebiasaan baharu
Hampir dua tahun negara berada dalam keadaan yang terbatas. Aktiviti keagamaan di masjid atau surau perlu mematuhi SOP yang ketat. Hanya jawatankuasa dalam bilangan yang kecil dibenarkan untuk hadir, keberadaan jemaah dalam masjid atau surau juga hanya dalam tempoh masa yang pendek dan pelbagai garis panduan lagi.
Namun, Ramadan kali ini bakal kembali sebagaimana dahulu. Penjarakan fizikal tidak lagi dilaksanakan di masjid atau surau. Premis makanan boleh beroperasi tanpa sekatan waktu. Kesemua ini sangat mengujakan masyarakat Muslim.
Ramadan merupakan bulan yang dinantikan oleh semua kerana mempunyai kemeriahan berbentuk kehendak material seperti bazar ramadan, berbuka secara percuma dan lain-lain serta keseronokan melakukan kebaikan.
Sikap berlumba-lumba dalam melakukan amal soleh menunjukkan perbuatan baik yang ada dalam diri masyarakat. Namun dukacitanya, budaya ini berlaku hanya pada bulan Ramadan sahaja. Ini seolah-olah bulan Ramadan merupakan pesta ibadah dalam kerangka adat atau menjadi ‘program’ tahunan. Sedangkan Ramadan merupakan batu asas dan titik perubahan atau penghijrahan pada masa akan datang.
Jika sebelum ini kita merindui suasana kedamaian dan ketenangan berada di masjid atau surau, maka Ramadan kali ini merupakan peluang terbaik buat kita untuk menjadikan masjid atau surau sebagai rumah kedua. Solat fardu, terawih, qiamullail serta iktikaf boleh dilaksanakan sepenuhnya di masjid atau surau.
Begitu juga perbelanjaan dalam keadaan sederhana yang dipraktikkan ketika pandemik perlu diteruskan lagi pada Ramadan tahun ini. Jika ditinjau dan diteliti kadar pembuangan makanan meningkat ketika bulan Ramadan. Dengan azam berbelanja apa yang perlu sudah pasti dapat mengurangkan pembaziran daripada berlaku.
Pandemik Covid-19 meninggalkan kesan kebaikan buat semua. Adat yang lama diamalkan secara turun temurun dapat diubah dengan kebiasaan baharu. Ini menunjukkan Islam dan syariat sangat bersifat anjal atau fleksibel menepati maqasid Syariah.
Oleh yang demikian, walau apapun keadaan Ramadan, objektif atau matlamat berpuasa adalah untuk memperoleh taqwa. Alangkahnya malangnya hidup kita yang telah berjaya melalui pengalaman getir pandemik dengan kebiasaan baharu, namun tiada perubahan dari sudut tingkah laku kita.
Anggaplah bahawa Ramadan kali ini mungkin Ramadan terakhir buat kita. Teruskan menghidupkan bulan Ramadan dengan amal ibadat. Betulkan apa yang biasa dan biasakan apa yang betul. Semoga Ramadan kali ini lebih baik daripada Ramadan yang lepas.
Oleh: Adlin Shaimi Baharom
Presiden Lajnah Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya &
Dr. Mohd Syukri Zainal Abidin
Pensyarah Kanan
Jabatan Akidah dan Pemikiran
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya