Home Nasional PAU 2021 jadi tumpuan hari ini

PAU 2021 jadi tumpuan hari ini

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menaikkan Bendera Sang Saka Bangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 18 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Seramai 5,571 perwakilan termasuk dari tiga sayap UMNO berkampung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hari ini untuk mengikuti persidangan perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021.

Perhimpunan hari ketiga ini bermula dengan acara menaikkan bendera UMNO – Sang Saka Bangsa oleh presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Plaza Merdeka kira-kira jam 8.10 pagi ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bergambar bersama barisan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selepas menaikkan Bendera Sang Saka Bangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 18 MAC 2022.

Kelihatan hadir, Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Program kemudian diikuti pembukaan PAU 2021 yang dimulakan dengan Ucapan Dasar Presiden di Dewan Merdeka.

Perwakilan dari seluruh negara yang memakai kemeja merah, bersamping dan bersongkok mula membanjiri bangunan WTC sejak jam 7 pagi lagi.

Semalam, tiga sayap UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri mengisi masa dengan perbahasan usul, memilih dan melantik 10 perwakilan ke PAU hari ini serta Ketua-ketua sayap menyampaikan ucapan penangguhan. – MalaysiaGazette