KUALA LUMPUR – Pemimpin dan ahli akar umbi percaya Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 hari ini adalah kenyataan ikhlas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk melihat parti itu kembali bangkit.
Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Ghani Harun berkata, kenyataan itu juga telah menaikkan semangat ahli yang ketika ini sedang bangkit selepas Barisan Nasional (BN) dan rakannya menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Melaka dan Johor.
“Saya telah mendengar dengan teliti Ucapan Dasar Presiden dan pada saya ia adalah satu kenyataan yang boleh membangkitkan semangat ahli UMNO yang sedang bangkit sekarang ini.
“Saya juga percaya ucapan beliau sangat ikhlas, yang ingin melihat UMNO bangkit semula. Saya harap jangan ada petualang yang akan merugikan parti,” katanya kepada Malaysia Gazette di PAU 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada rakan sejawatannya di seluruh negara agar mengambil dan memegang ucapan tanpa berbelah bahagi demi untuk membina semula UMNO.
“Jangan ada yang menongkah arus, kita sebagai ahli parti, Presiden adalah keutamaan kita.
“UMNO Pasir Mas mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Presiden dan kita akan pegang ucapan itu ungtuk menghadapi PRU15.
“Kalau ucapan Presiden yang begitu ikhlas, ada lagi Ketua-ketua Bahagian atau ahli yang menongkah arus, kita anggap mereka hendak menjahanamkan UMNO,” katanya.
Ketua Penerangan UMNO Pasir Mas, Mohd Rizduan Ibrahim pula menyifatkan ucapan Presiden, Timbalan Presiden dan Ketua-ketua sayap parti sepanjang PAU itu sebagai seruan kepada akar umbi bersiap siaga dalam membentuk pasukan yang mantap.
Ujar beliau, kemenangan BN pada PRN di Sarawak, Melaka dan Johor membuktikan UMNO sudah kembali kepada kebangkitan asal, di mana rakyat mula menerima perjuangan parti.
Selain itu, katanya, dalam mesyuarat sayap parti semalam, semua menyatakan sokongan sepenuhnya dengan menyerahkan segala keputusan itu kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
“Dalam ucapan Presiden pagi ini, turut mempunyai satu wadah dan agenda yang sama, iaitu minta akar umbi bekerjasama serta mantapkan lagi organisasi di seluruh cawangan, bahagian menggerakkan jentera supaya lebih bersedia.
“Gesaan supaya diadakan PRU15 segera adalah cadangan yang dibuat oleh Presiden amat tepat dan baik kerana situasi itu sudah kembali meyakinkan.
“Bagaimanapun, bagi saya UMNO sebagai parti Melayu yang mendokong orang Melayu semestinya mempunyai adab serta terserah kepada Perdana Menteri dan ketelian Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha UMNO Pasir Mas, Kamaruddin Abdullah melihat Ucapan Dasar Presiden berhubung dasar UMNO perlu dilaksanakan adalah cukup mantap.
Menurut beliau, Presiden turut menyentuh beberapa hal berkaitan dengan peluang terutama PRU perlu diadakan sebelum pemilihan parti.
Katanya, itu adalah pandangan yang cukup jitu dan baik, malah akar umbi mula membuat gerakan yang cukup rapi dan mantap bagi mendepani PRU15 nanti.
Berhubung kenyataan Presiden yang menyeru supaya ahli UMNO semua peringkat bermula atas ke akar umbi perlu bangkit dan bersatu, beliau menyambut baik saranan itu demi kelangsungan masa depan perjuangan parti untuk rakyat. – MalaysiaGazette