KUALA LUMPUR – UMNO perlu memberikan lebih peluang kepada wanita untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, jika sebelum ini wanita hanya menuntut 30 peratus namun atas prestasi yang ditunjukkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan di Johor – peluang wajar diberikan lebih kepada golongan itu.
“Kalau dilihat Wanita UMNO setiap tahun dalam PAU asyik minta 30 peratus, sampai wanita sudah letih. Setiap kali minta dapatlah sedikit demi sedikit.
“Walaubagaimanapun, saya kena berterima kasih kepada presiden, timbalan presiden dan naib-naib presiden kerana di Johor kita dah capai 25 peratus.
“Tetapi apa yang ingin kita mohon bahawa kita tidak mahu setiap tahun minta sedikit-seedikit, saya rasa PRU-15 kita nak 30 peratus kena full fill (diisi), kita kena bagi 30 peratus kerana kita dah buktikan di Johor di semua kerusi dipertandingkan kita menang walaupun kerusi itu kalah sewaktu PRU-14,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Laman Media Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 di sini hari ini.
Menurut Norliza, UMNO tidak boleh hanya memikirkan kaum lelaki terutama ketua bahagian untuk dijadikan calon dalam pilihan raya meskipun mereka memang layak untuk diketengahkan.
Katanya, adalah sangat menyedihkan apabila terdapat wanita ada yang sudah berkerut tidak diberikan peluang untuk bertanding sedangkan perjuangan mereka sangat komited dan mampu melakukan apa sahaja.
“Jadi, saya rasakan sudah sampai masa bukan 30 peratus sebenarnya, kita patutnya meminta lebih daripada itu. Bila kita tengok negara-negara luar macam Finland, New Zealand wanita sudah jadi Perdana Menteri dah jadi presiden…jadi, saya fikir Malaysia tidak boleh seperti itu lagi.
“Kita mendesak supaya diberi lebih peluang yang lebih luas di masa akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu Norliza gembira kerana presiden parti mengiktiraf perjuangan dan memuji gerak kerja wanita di mana telah membuahkan keputusan yang positif dalam pilihan raya seperti yang berlaku di Melaka dan di Johor.
Katanya, wanita merupakan penggerak kepada UMNO atau ibu kepada peneraju perjuangan parti.
Tambahnya, wanita telah berkorban sejak dahulu lagi ketika mahu menuntut kemerdekaan sehingga sanggup bergolok bergadai untuk mempastikan negara mencapai kemerdekaan.
“Wanita ini nadi rakyat, mereka boleh jadi tempat rakyat mengeluh…kemudian kita bawa kepada pihak-pihak tertentu jadi saya rasa semua dah mula tahu betapa pentingnya wanita dalam sesebuha perjuangan tambahan pula dalam UMNO sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette