Home SISWA UMS perkukuh kerjasama dengan UMB Indonesia

UMS perkukuh kerjasama dengan UMB Indonesia

Para peserta Bengkel Pemikiran Kritis secara maya.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuhkan kolaborasi antarabangsa dengan menganjurkan Bengkel Pemikiran Kritis secara maya bersama Universiti Mercu Buana (UMB) Indonesia, baru-baru ini.

Bengkel selama sehari itu disertai seramai 31 pelajar daripada pelbagai program dan fakulti di UMS yang bertujuan menyemai pemikiran kritis bukan hanya dalam bidang akademik tetapi juga dalam menjalani kehidupan seharian.

Menurut Profesor Dr. Sabariah Sharif, yang kini menjalankan fungsi sebagai Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS, melalui bengkel itu juga para peserta dapat mengaplikasi pemikiran kritis sama ada dalam penulisan mahupun pembacaan.

”Dengan menghadiri bengkel seumpama ini, ia dapat mengikis tanggapan dan mengubah persepsi bahawa membaca artikel dari pelbagai sumber ilmiah adalah sesuatu yang sukar dilakukan.

”Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang bengkel ini ialah ceramah yang memfokuskan pengenalan asas tentang pemikiran kritis menerusi pembacaan bahan bukan akademik, bahan akademik dan penulisan akademik,” ujarnya ketika merasmikan bengkel tersebut.

Selain itu katanya, latihan dalam mengaplikasikan kemahiran juga diberikan kepada pelajar bagi membantu mereka untuk lebih memahami dan mengetahui cara pemikiran kritis dapat diaplikasikan menerusi pembacaan dan penulisan.

Sementara itu, penyelaras bengkel, Dr. Getrude Cosmas berkata, hasil daripada kejayaan penganjuran siri pertama, UMS dan UMB akan mengadakan bengkel siri kedua untuk memberi peluang kepada lebih ramai peserta untuk menyertainya.

”Secara keseluruhan bengkel ini sangat informatif dan mengajar peserta untuk berfikir dari pelbagai perspektif yang berbeza,” ujarnya. – MalaysiaGazette