Home Utama Aksi panas Zul Ariffin buat menteri tarik nafas panjang

Aksi panas Zul Ariffin buat menteri tarik nafas panjang

Senator Datuk Idris Ahmad.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad mengakui dirinya menarik nafas panjang apabila mengetahui sebuah drama yang kontroversi dan bakal ditayangkan pada Ramadan ini.

Beliau berkata, Islam tidak menghalang hiburan namun dicemari dengan kegusaran yang dikira melampaui batas perlu ditegur.

Justeru beliau sendiri akan menghubungi pihak yang terbabit untuk mendapatkan nasihat supaya perkara ini boleh ditegah dan diubah dengan hikmah.

“Hela nafas panjang saya. Apabila sebuah drama yang telah ditular untuk ditayangkan dalam bulan yang sepatutnya ditunggu oleh seluruh manusia yang beriman bagi mengejar taqwa, namun seolah dicemari dengan kegusaran yang saya kira melampui batas yang perlu ditegur. Hiburan tidak dihalang dalam Islam.

“Namun, tatacara hiburan dalam Islam pastinya terdapat disiplin yang tegas, apatah lagi melibatkan ikhtilat yang berlebihan dengan adegan yang ternyata mengundang maksiat.

“Industri hiburan di Malaysia ini bukanlah perkara yang ingin saya halangi, tapi jika ianya mencemarkan fitrah dalam agama, saya tidak boleh membiarkan ianya berlaku tanpa dinasihati.

“Saya akan menghubungi pihak yang terbabit untuk mendapatkan nasihat supaya perkara ini boleh ditegah dan diubah dengan hikmah.

“Dalam masa yang sama, saya menyeru kepada seluruh umat Islam, tidak kira usia dan kedudukan, untuk bersiap menghadapi Ramadhan yang menjanjikan sejuta hikmah oleh Allah SWT.

“Persiapkan diri, pasangan, keluarga dan masyarakat sekeliling kita agar memeriahkan Ramadan dengan penuh pengharapan dan keinsafan. Jauhi perkara mendekatkan kita dengan maksiat, agar Ramadan kita tidak tercalar dan cacat cela. Moga Allah terus memimpin kita,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya.

Semalam, tindakan aktor terkenal, Zul Ariffin berkongsi sedutan babak panas lakonannya menerusi drama Perempuan Itu dalam Instagram kini menjadi kontroversi dan tular di media sosial.

Video yang mencetuskan kecaman ramai itu memaparkan beberapa babak aksi menghairahkan lakonan pemilik nama penuh Zulkifli Ariffin, 36, bersama pelakon baharu, Siti Hariesa.

Antara babak itu adalah aksiĀ  panas Zul mendukung Siti Hariesa sedang berasmara tidak berbaju.

Lebih panas juga, apabila ada adegan Hariesa menyuap whipping cream ke arah mulut Zul dengan gaya menghairahkan. – MalaysiaGazette