BANGKOK – Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha mengarahkan agensi berkaitan untuk memberi bantuan yang saksama kepada pelancong Rusia dan Ukraine terkandas di negara itu, ketika berlakunya sekatan perjalanan dan sekatan lain berikutan konflik Rusia-Ukraine.
Jurucakap Kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata, Prayuth prihatin terhadap kebajikan mereka dan mengikuti dengan teliti mengenai bantuan yang ditawarkan kepada warga Rusia dan Ukraine yang terkandas di negara itu.
Menurut beliau, Kementerian Pelancongan dan Sukan menganggarkan kira-kira 7,000 warga Rusia dan 1,000 warga Ukraine terkandas di lokasi seperti wilayah Phuket dan Surat Thani.
“Pelancong Rusia yang terkandas telah mendapatkan bantuan untuk melanjutkan tempoh penginapan mereka di Thailand, dengan Pejabat Imigresen membuat penyelarasan dengan Kedutaan Rusia di Thailand. Mereka mungkin memilih syarikat penerbangan lain untuk pulang ke tanah air, seperti Qatar Airways atau Turkish Airlines, berikutan pembatalan penerbangan berjadual oleh syarikat penerbangan Rusia.
“Kementerian Pelancongan dan Sukan juga menyediakan tempat tinggal, makanan dan lain-lain yang diperlukan untuk pelancong Rusia dan Ukraine,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengenai masalah bayaran, Thanakorn berkata Kementerian Kewangan dan Bank of Thailand (BoT) juga menjalankan publisiti untuk memaklumkan pelancong yang terjejas tentang sistem pemindahan wang alternatif seperti TransferWise, Western Union dan MoneyGram, yang boleh didapati di bank perdagangan dan institusi kewangan bukan bank.
Beliau berkata pelancong juga akan dimaklumkan mengenai saluran pemindahan wang yang lain, melalui bank perdagangan, rangkaian perniagaan pelancongan dan Persatuan Pelancongan Phuket dan Persatuan Hotel Thai Bahagian Selatan.
Awal bulan ini, Visa dan Mastercard mengumumkan menggantung operasi mereka di Rusia berikutan pencerobohannya ke atas Ukraine, menyukarkan beribu-ribu rakyat Rusia.
Sementara itu, Kuasa Usaha Ukraine Oleksandr Lysak berkata lebih 100 keluarga Thai menawarkan penginapan percuma kepada rakyat Ukraine yang terkandas di negara itu.
Pada masa ini, beliau berkata, terdapat lebih 3,000 warga Ukraine yang terkandas di Thailand. – MalaysiaGazette