KUALA LUMPUR – Melaka United FC kini dalam misi mendapatkan kembali momentum apabila telah dibenarkan berlatih selepas menjalani tempoh kuarantin selama satu minggu.
Minggu lalu, perlawanan membabitkan Melaka United dan PIB FC bagi aksi pusingan pertama Piala FA ditunda selepas 20 pemain dan pegawai pasukan telah disahkan positif Covid-19.
Ini termasuklah pertahanan mereka, Akmal Zahir yang turut sama dijangkiti Covid-19 sambil menyifatkan fokus utama latihan pertama untuk mengembalikan tahap kecergasan barisan pemain secara fizikal.
Jelasnya, tempoh masa yang ada sebelum aksi Liga Super ketiga berdepan Sabah FC pada 5 April depan amat penting memandangkan mereka masih belum meraih kemenangan dalam dua perlawanan terdahulu.
“Sejak saya positif, saya tidak ada gejala yang teruk dan semuanya baik-baik sahaja, jadi sekarang kena fokus untuk dapat balik kecergasan.
“Sekarang pasukan kena ada balik mentaliti untuk menang sebab selepas ini akan menentang Sabah, jadi mahu atau tidak kena cuba menang juga.
“Kami sudah seri dan tewas sekali, jadi kalau boleh kami tak mahu kehilangan mata lagi dan tempoh masa yang ada ini cukup untuk kejar balik latihan secara fizikal”, jelasnya.
Selain Akmal, seorang lagi pemain yang turut sama positif Covid-19 adalah Muhammad Fadhli Shas yang mengharapkan situasi seperti ini tidak akan berulang lagi pada masa hadapan.
Namun, sepanjang tempoh kuarantin, pemain berusia 31 tahun ini tetap komited dengan program latihan yang disediakan oleh barisan kejurulatihan menerusi atas talian.
“Alhamdulillah semuanya sudah kembali pulih dan sekarang pun kita dah mula berlatih balik, jadi kita akan kembali fokus untuk dapatkan balik momentum.
“Masa kuarantin pun kita tetap dengan latihan sendiri sebab jurulatih ada bagi beberapa program yang perlu kita lakukan, jadi ia membantu.
“Saya berharap persiapan selepas ini akan lebih lancar dan semua pemain akan lebih sihat selepas ramai yang positif tempoh hari”, katanya.
Terdahulu, perlawanan antara Melaka United dan PIB FC yang sepatutnya berlangsung pada 12 Mac ditunda ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Mereka akan kembali beraksi dalam aksi ketiga Liga Super menentang Sabah FC pada 5 April depan. – MalaysiaGazette