Home Politik Isu ‘dinosaur politik’, Akmal mohon maaf dari Zahid

Isu ‘dinosaur politik’, Akmal mohon maaf dari Zahid

Wakil pembahas Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhammad Akmal Saleh berucap pada Sesi Perbahasan Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MALAYSIA GAZETTE, 19 MAC 2022.
Wakil pembahas Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhammad Akmal Saleh berucap pada Sesi Perbahasan Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MALAYSIA GAZETTE, 19 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh hari memohon maaf secara terbuka kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas terdapat salah faham antara kedua-dua mereka dahulu.

Exco Negeri Melaka itu pernah dikatakan menggelar Ahmad Zahid sebagai ‘dinosaur politik’.

“Sejujurnya, posting tu tidak ada kena mengena dengan Ayahanda Presiden tapi saya dapat maklum ayahanda terasa hati dengan posting tersebut walaupun  ia bersifat umum, sebenarnya saya tak tuju pada sesiapa.

“Saya mohon maaf pada ayahanda jika ada terasa hati,” ucap Muhamad Akmal ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO di sini hari ini.

Muhamad Akmal yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka pada 14 Disember tahun lalu menggesa agar Ahmad Zahid berundur daripada jawatan itu secara terhormat bagi membolehkan usaha segera pemulihan parti dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Saranan dibuat itu susulan kegagalan Ahli Parlimen Bagan Datuk menangani beberapa isu yang secara jelas boleh menggugat perpaduan parti yang sudah dibina selama ini.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal mengakui kagum dengan karisma Ahmad Zahid yang tidak cepat melatah dengan kenyataan itu dan menerima kritikan tersebut.

“Dia (Ahmad Zahid) cool, dia relaks sahaja walaupun dia sakit hati dengan saya, lancang betul mulut budak jantan ni, dia kata dia cool dan paling penting, ayahanda Presiden langsung tak menyimpan dendam,” katanya lagi.

Dalam ucapan sama, Muhamad Akmal berkata, tiada istilah gila kuasa atas desakan untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15).

Bahkan katanya desakan dibuat UMNO ini juga bukan bermakna parti tunjang Melayu itu akan menang sebaliknya mandat dikembalikan semula kepada rakyat.

“Mereka rasa jika tidak disebabkan sokongan, kerajaan Melaka sebelum ini tidak boleh dibentuk. Akhirnya, ‘katak’ ini melompat sehingga terjadinya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November tahun lalu.

“Alhamdulillah, mandat besar diberikan rakyat Melaka kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) seterusnya pentadbiran kerajaan negeri kembali stabil,” katanya lagi. – MalaysiaGazette