Home Ekonomi Sentimen pelabur kekal berhati-hati

Sentimen pelabur kekal berhati-hati

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia diunjur diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan apabila sentimen pelabur dijangka kekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan pasaran di tengah-tengah konflik Rusia-Ukraine.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata ,indeks petunjuk pasaran itu dijangka didagangkan antara jajaran 1,575 dan 1,595 minggu depan.

“Dari segi teknikal, paras ketahanan dijangkakan berada pada 1,600 manakala paras sokongan pada 1,550,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, FBM KLCI bergerak dalam aliran bercampur-campur sejajar dengan prestasi di Wall Street dan pasaran serantau dan beberapa faktor lain.

Ia termasuk keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat (FOMC) untuk menaikkan kadar dana persekutuan sebanyak 25 mata asas, meningkatkan penanda aras kadar faedah kepada 0.50 peratus.

Selain itu, krisis Rusia-Ukraine yang melonjakkan harga minyak mentah dunia serta sekatan pergerakan penuh di Shenzen, China, berikutan peningkatan kes COVID-19 juga memberi kesan kepada pasaran ekuiti tempatan.

Bagaimanapun, aliran masuk asing yang kukuh, harga minyak tinggi dan pengumuman penyambungan projek Aliran Transit Berkapasiti Tinggi 3 (MRT3) memberikan sedikit sokongan belian kepada kaunter pembinaan dan tenaga.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 23.04 mata untuk ditutup minggu ini kepada 1,591.26 daripada 1,568.22 pada minggu sebelumnya.

 Di papan indeks, Indeks FBMT100 naik 159.50 mata kepada 10,976.72, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 55.11 mata kepada 11,817.99, Indeks FBM Emas menokok 153.88 mata kepada 11,817.99.

Sementara itu, FBM ACE naik 80.98 mata kepada 5,339.46 dan FBM 70 melonjak 195.24 mata kepada 13,267.98.

Mengikut sektor, Indeks Teknologi meningkat 1.43 mata kepada 72.96, Indeks Perladangan berkurangan 294.75 mata kepada 7,909.95 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.35 mata kepada 203.34.

Indeks Penjagaan Kesihatan jatuh 65.17 mata kepada 2,062.40, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 481.77 mata kepada 16,731.79 dan Indeks Tenaga menambah 11.49 mata kepada 718.97.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 14.48 bilion unit bernilai RM16.85 bilion daripada 17.33 bilion unit bernilai RM16.71 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 9.53 bilion saham bernilai RM15.73 bilion daripada 11.85 bilion saham bernilai RM15.55 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 2.73 bilion unit bernilai RM522.76 juta berbanding 2.09 bilion unit bernilai RM288.95 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 2.21 bilion saham bernilai RM599.21 juta berbanding 3.36 bilion saham bernilai RM863.88 juta pada minggu sebelumnya. – MalaysiaGazette