JASIN – “Sepatutnya, hari ini kami bergambar bersama dengan jubah konvokesyen namun ternyata Allah lebih menyayangi adik.”
Itu luahan sedih Nur’ Inani Husna Ahmad Nahar ketika mengambil Sijil Landskap pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Melaka mewakili arwah adiknya, Muhammad Nafis Ahmad Nahar yang meninggal dunia ketika berusia 20 tahun akibat nahas jalan raya dua tahun lalu.
Nur’ Inani Husna dia tidak menyangka, perancangannya dengan arwah untuk bersama-sama meraikan kejayaan naik ke pentas menerima segulung sijil hanya digenggamnya sendirian.
“Masih terngiang-giang suara adik sebelum ini yang sering menceritakan kegembiraanya kelak bila dapat meraikan hari konvokesyen kami bersama walaupun waktu sidang kami berbeza sehari.
“Giliran konvokesyen saya yang mengambil Sijil Kulinari di Kolej Komuniti Bukit Beruang adalah pada sidang ke dua esok, tapi hari ini saya naik ke pentas mewakili arwah menerima Sijil Landskap Kolej Komuniti Selandar,” katanya sebak.
Mengimbas kembali detik pilu itu, Nur’ Inani Husna berkata, arwah meninggal dunia dalam kemalangan selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah lagi motosikal di Hulu Langat, Selangor pada 20 Jun 2020.
“Walaupun kejadian sudah dua tahun berlalu, kenangan bersamanya yang rapat dengan saya sejak kecil masih segar termasuk rancangan kami untuk membuka perniagaan bersama selepas tamat konvokesyen.
“Namun apakan daya, kami reda kerana Allah lebih menyayangi adik yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik,” katanya.
Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Melaka di Politeknik Merlimau hari ini dan esok menyaksikan seramai 1,395 graduan dari enam Kolej Komuniti melibatkan dua program diploma dan 14 program sijil yang menamatkan pengajian pada tahun 2019 dan 2020 menerima anugerah masing-masing.
Perasmian disempurnakan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) V.P Shanmugam.- MalaysiaGazette