KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pihak tertentu dalam UMNO supaya berhenti mengamalkan budaya ‘bagi’ atau membeli untuk mendapatkan sokongan undi bagi memenangkan seseorang atau diri sendiri.
Presiden UMNO berkata, jika hendak ‘bagi’ pada setiap perhimpunan, berilah secara ikhlas bagi membantu ahli yang tidak berkemampuan.
“Sebaliknya, kalau ada maksud tertentu baru nak ‘bagi’ terutama kalau ada pemilihan, saya minta hentikanlah budaya itu.
“Walaupun dalam keadaan begini, wang adalah segala-galanya, tetapi segala-galanya bukan wang.
“Jadi, kalau nak bantu kawan-kawan, bantulah dengan ikhlas, bukan atas tujuan tertentu, bukan kerana mahu membeli undi, bukan kerana mahu membeli maruah ahli dan para perwakilan,” katanya berucap pada penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di WTC di sini petang ini.
Menurut Ahmad Zahid, beliau telah menyaksikan ramai pemimpin yang cuba naik dengan cara pembelian.
Bagaimanapun, tegasnya, pemimpin sedemikian tidak autentik kerana yang dibeli dan ditanam bukan budi.
Beliau turut meminta ahli UMNO agar menjaga nama baik parti kerana lambang UMNO dan Barisan Nasional (BN) ialah dacing yang turut dijadikan jenama dan harus ditonjol.
“Manakala produk parti pula ialah calon,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyindir tindakan pihak tertentu mempersoalkan ucapan dasarnya semalam dengan mendakwa tidak ada agenda ekonomi untuk membangunkan negara.
“Saya minta orang ini bacalah (teliti) teks ucapan dasar saya. Tetapi bila saya berucap, dia pula berada dalam golongan ‘menunduk’ konon tengok telefon.
“Bila teks ucapan dasar saya diedarkan, dia tak baca. Jadi, saya ingatkan, jangan tembak kaki sendiri,” katanya.
Ahmad Zahid juga berharap dalam UMNO tidak ada pelakon yang memegang watak jahat seperti Sarif Dol, S. Kadarisman dan Salleh Kamil dalam filem-filem P. Ramlee.
Katanya, beliau tidak mahu UMNO sebagai parti Melayu disamakan dengan filem atau drama Melayu lama yang dibarisikan tiga pelakon berwatak jahat itu. – MalaysiaGazette