Home Nasional Dua pelacur warga asing ditahan dalam dua serbuan selang 45 minit

Dua pelacur warga asing ditahan dalam dua serbuan selang 45 minit

Hotel bajet di kawasan sentul jadi sarang pelacuran wanita asing dibongkar polis semalam. Sumber foto: IPD Sentul

KUALA LUMPUR – Dua pelacur warga asing ditahan polis dalam dua serbuan berasingan ke atas dua buah hotel bajet di Sentul, di sini, dalam tempoh 45 minit semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, serbuan dilakukan ke atas premis di Batu 5 Jalan Ipoh dan Sentul Baru yang disyaki menjadi sarang pelacuran.

“Serbuan pertama telah dilakukan pada jam lebih kurang 4.00 petang manakala serbuan kedua telah dilakukan pada jam lebih kurang 4.45 petang.

“Hasil pemeriksaan seramai dua orang perempuan warga asing berusia 25 dan 31 tahun ditangkap kerana terbabit dalam kegiatan pelacuran tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dua hotel bajet yang dijadikan sarang pelacuran dengan khidmat dua wanita asing tidak berpermit sah dicekup polis. Foto IPD Sentul

Tambah beliau, siasatan di tempat kejadian mendapati kegiatan tidak bermoral itu dipercayai telah beroperasi sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan kondom, kad akses bilik hotel, tisu basah, minyak urut dan minyak pelincir.

“Kesemua suspek kini telah ditahan untuk membantu siasatan lanjut polis.

“Semakan rekod mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan mereka berdua kini ditahan reman selama 14 hari bermula Ahad sehingga 2 April ini untuk membantu siasatan lanjut,katanya.

Tambah Eng Lai, kes disiasat mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam aktiviti pelacuran dan juga Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai permit yang sah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang perlakuan jenayah diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di 03-40482222. -MalaysiaGazette