Home Utama Gaji minimum RM2,000 lebih sesuai – Exco Melaka

Gaji minimum RM2,000 lebih sesuai – Exco Melaka

VP Shanmugam. Foto AMIRUL SHAUFIQ 19 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 mungkin memerlukan kajian semula sehingga ke paras RM2,000 yang dilihat lebih sesuai terutama bagi menarik minat golongan muda negara ini.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka, V.P Shanmugam berkata, masalah tangga gaji yang rendah bukanlah isu baharu di negara ini dalam mendepani cabaran kos sara hidup semakin meningkat.

Menurutnya, golongan belia adalah yang paling mendesak dan terkesan untuk mendapatkan gaji sesuai dengan keperluan hidup mereka yang masih tinggi ketika melalui fasa awal kerjaya.

“Tangga gaji yang baru naik daripada RM1,2000 kepada RM1,500 ini sesetengah pihak berpendapat gaji minimum ini masih rendah sebab itu mereka (pasangan muda) tak mahu kerja kilang atau hotel.

“Saya rasa kita kena kaji semula secara berperingkat dengan memastikan rakyat mendapat gaji yang lebih kerana kos sara hidup yang tinggi dan saya akui kalau gaji minimum RM1,500 itu…saya secara peribadi anggap kalau dapat naik kepada RM2,000 adalah lebih baik.

“Maknanya, kalau suami dan isteri bekerja, jumlah gaji RM4,000 untuk seisi keluarga itu saya rasa memadai untuk tampung hutang rumah, kereta dan perbelanjaan keperluan harian lain,” katanya kepada pemberita di sini.

Mengulas lanjut Shanmugam berkata, disebabkan tangga gaji yang rendah, sebahagian besar rakyat memilih untuk berniaga di tepi jalan yang mampu memberi pendapatan lebih berbanding kerja kilang.

Sebagai contoh, katanya, adalah sektor industri kawalan keselamatan sehingga menyebabkan sektor itu dipelopori warga asing khususnya Bangladesh dan Nepal.

“Akibatnya, rakyat kita lebih gemar memilih berniaga pisang goreng yang boleh beri pulangan bersih RM100 sehari bersamaan RM3,000 sebulan.

“Tidak kurang juga yang berpendapat kerja ‘pak guard’ ini tidak standard yang akhirnya mengakibatkan pengaliran ringgit keluar negara melalui kiriman wang oleh pekerja asing dari Bangladesh dan Nepal,” katanya.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei ini di seluruh negara.

Pelaksanaan gaji minimum itu bagaimanapun akan hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Ia setelah kerajaan mengambil kira kos sara hidup kini yang kian meningkat, sekali gus menekan golongan B40 khususnya. – MalaysiaGazette