Home Utama Lim Kit Siang muktamad bersara politik

Lim Kit Siang muktamad bersara politik

Penasihat DAP, Lim Kit Siang hadir ke Kongres Ke-17 Parti Tindakan Demokratik (DAP) di IDCC Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 MAC 2022.

SHAH ALAM – Selepas 56 tahun berada dalam DAP, pemimpin kanan parti itu, Lim Kit Siang hari ini mengumumkan persaraannya daripada politik.

Berucap dalam Kongres Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik Ke-17, Kit Siang yang pernah menjadi Setiausaha Agung dan Pengerusi DAP berkata, dia tidak akan bertanding dalam mana-mana pilihan raya pada masa akan datang.

“Saya mengambil peluang ini untuk mengumumkan persaraan saya daripada politik.

“Saya menarik diri dari bertanding pilihan JTP hari ini  – sila padamkan no.39 dari senarai calon JTP anda.

“Saya juga tidak akan bertanding dalam pilihanraya Parlimen atau negeri di masa hadapan,” katanya dalam perhimpunan yang turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, selama berada dalam parti beliau telah melihat DAP berkembang daripada parti kecil dan sebagai pembangkang pada 1969 berubah menjadi parti politik utama dan pernah menjadi Kerajaan Persekutuan.

“Saya telah berada dalam parti selama 56 tahun – dua hari lepas merupakan ulang tahun ke-56 parti kita – dan selama ini saya melihat bagaimana parti kita telah berkembang dari sebuah parti pembangkang kecil yang mengambil bahagian pertama kali dalam pilihanraya umum tahun 1969.

“Sehingga menjadi sebuah parti politik utama yang berjaya menubuh kerajaan persekutuan serta mengambil alih kerajaan di tujuh negeri bersama dengan rakan-rakan kita dalam Pakatan Harapan semasa PRU-14,” kata Kit Siang.

Dalam ucapan terakhirnya dalam perhimpunan agung DAP, beliau mahu DAP mencetus semula harapan dan keyakinan terhadap masa depan negara.

“Belum pernah lagi dalam sejarah DAP, semangat perpaduan, setiakawan, komitmen dan keazaman menjadi begitu penting dalam usaha kita untuk merealisasikan Impian Malaysia.

“Adalah penghormatan buat saya selama ini berpeluang – bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang patriotik sama ada di dalam atau di luar DAP – untuk berganding bahu sepanjang perjalanan untuk merealisasikan Impian Malaysia kita bersama.

“Usaha untuk merealisasikan Impian Malaysia mesti diteruskan sehingga berjaya, dan kini sampailah giliran anda semua untuk meneruskan perjuangan ini,” katanya.-MalaysiaGazette