PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) 2021 yang berlangsung selama empat hari dari 16 hingga semalam, 19 Mac berakhir dengan para pemimpin, perwakilan, ahli dan penyokong gembira.
Lebih 5,700 perwakilan melibatkan UMNO Bahagian, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri dari seluruh negara boleh dikatakan balik ke negeri masing-masing dengan senyum lebar.
Apa tidaknya, segala teka teki, kemusykilan dan tanda tanya yang bermain dalam minda mereka sejak UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) tahun 2018, semuanya terjawab.
Topik paling panas yang dibincangkan dari peringkat pucuk pimpinan hingga ke akar umbi ialah soal sama ada pemilihan parti dahulu atau PRU ke-15 dahulu.
Persoalan ini timbul selepas ada gerakan dari kumpulan tertentu dalam UMNO untuk menjatuhkan seseorang demi untuk menaikkan seseorang. Dengan kata mudah, mereka mahu pucuk pimpinan berubah.
Gerakan yang sedang menular dan merebak ke setiap bahagian di seluruh negara inilah yang mendesak supaya diadakan pemilihan parti dahulu, kemudian baru difikirkan PRU.
Sedangkan, di pihak penyandang sekarang mahu PRU dahulu baharulah pemilihan, dengan alasan bagi mengelakkan berlaku perpecahan dalam parti, selain inilah masa keemasan untuk BN merampas semula Putrajaya tanpa lagi wujud gabungan dengan mana-mana parti lain.
Topik ini pun sudah terjawab, apabila Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungan petang semalam menjelaskan, UMNO sebulat suara meluluskan usul supaya pemilihan parti diadakan enam bulan selepas setiap kali PRU.
Maknanya, UMNO akan meminda perlembagaannya untuk memasukkan perkara itu dalam fasa berkaitan dan diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk mendapatkan kelulusan.
Surat itu akan diuruskan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam tempoh terdekat ini.
Dengan itu juga, Ahmad Zahid meminta Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya ‘tengok-tengok’ surat permohonan itu dan pastikan mendapat kelulusan RoS.
“Perdana Menteri, tolong-tolong tengok sikit surat cadangan usul dari UMNO itu. Seperti mana kita tahu, RoS bukan kita jaga. Ia dijaga oleh orang lain (dari parti Bersatu).
“Kita mahu pastikan cadangan usul itu diluluskan oleh RoS supaya tidak ada lagi tekanan, desakan berhubung mana perlu diadakan dahulu iaitu pemilihan parti atau PRU.
“Cadangan yang dibuat oleh parti ialah PRU dahulu, kemudian baharu pemilihan parti,” katanya.
Dalam ucapan penggulungan yang mengambil masa kira-kira 40 minit itu, Ahmad Zahid juga turut menegur budaya ‘bagi’ atau ‘beri’ yang diamalkan pihak tertentu untuk mendapatkan undi dan sokongan.
Beliau minta supaya amalan itu dihentikan kerana perbuatan tidak bermoral itu sebenarnya memakan diri sendiri.
Kata beliau, jika hendak ‘bagi’ juga, buatlah secara ikhlas dengan tujuan untuk membantu ahli yang tidak berkemampuan.
“Sebaliknya, kalau ada maksud tertentu baru nak ‘bagi’ terutama kalau ada pemilihan, saya minta hentikanlah budaya itu.
“Walaupun dalam keadaan begini, wang adalah segala-galanya, tetapi segala-galanya bukan wang,” katanya.
Persoalan lain yang tidak kurang panasnya ialah desakan pengeluaran kali terakhir wang simpanan dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.
Teka teki ini sudah terjawab apabila Ismail Sabri, dalam ucapan penggulungan bagi pihak Naib Presiden mengumumkan kerajaan membenarkan pengeluaran itu dibuat.
Katanya, beliau terpaksa melewatkan pengumuman itu kerana tiba-tiba sahaja ada pihak dari parti lawan cuba menjadi juara atau jaguh mengenai pengeluaran wang RM10,000 KWSP.
Jika diumumkan ketika itu juga, menjadi ‘hero’ lah mereka dari Pas, Bersatu, DAP, PKR dan Amanah, maka tenggelam ghaib lah nama UMNO yang asal mula memperjuangkan perkara itu.
Jadi, kata, Ismail Sabri, beliau memaklumkan kepada Presiden dan kepimpinan Top Five bahawa masa sesuai mengumumkan pengeluaran KWSP ialah pada Perhimpunan Agung UMNO 2021.
Pemerhatian MalaysiaGazette sepanjang empat hari perhimpunan berlangsung ialah mengenai hubungan antara Presiden dengan Perdana Menteri. Sebelum ini, hubungan kedua-dua mereka turut menjadi buah mulut.
Ahmad Zahid tidak ngam dengan Ismail Sabri. Presiden cemburu dengan Perdana Menteri, dan macam-macam tuduhan lagi dilemparkan untuk menggambarkan hubungan kedua mereka adalah renggang.
Persoalan itu juga terjawab dalam ucapan penggulungan Ahmad Zahid yang menyatakan kepada perwakilan, ahli dan penyokong UMNO bahawa mereka berdua ‘bercium mulut’.
“Saya dengan Ismail Sabri dan Datuk Seri Mohamad Hasan serta dua lagi Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sering bertemu, bersama berbincang hal-hal parti dan pentadbiran.
“Kami ‘bercium mulut’, tetapi sengaja kami tidak mahu dedahkan kepada umum mengenai hubungan kami kerana masing-masing tahu tanggungjawab dan amanah yang dipikul,” kata beliau.
Ini diakui Ismail Sabri, yang menyatakan beliau tidak membuat keputusan bersendirian selain daripada dimaklumkan dan mendapat persetujuan Jemaah Menteri serta juga barisan kepimpinan parti – top five.
Selain dua isu itu, Ismail Sabri juga turut mengumumkan beberapa berita gembira lagi meluluskan skim gaji minimum RM1,500 yang berkuatkuasa 1 Mei ini dan akan membeku akaun suami yang gagal memberi nafkah kepada bekas isteri.
Beliau juga menyentuh mengenai PRU 15, yang mana katanya, tarikh itu akan dibincangkannya bersama Top Five.
“Kalau dipersetujui, beri saya bersama dengan Presiden, Timbalan, Naib-Naib atau top five untuk bincangkan perkara itu.
“Jika kita yakin dengan kemenangan, kita tak akan tunggu satu saat pun untuk bubarkan Parlimen untuk PRU ke-15,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan, batang tubuhnya adalah hak milik UMNO dan tetap teguh bersama UMNO.
Dia juga berkata, tidak mungkin dirinya berada di atas pentas politik (UMNO) sebagai Naib Presiden dan Perdana Menteri tanpa berkat doa serta sokongan penuh ahli-ahli UMNO.
Justeru, beliau mengucapkan terima kasih kepada Presiden, Timbalan Presiden, Ahli-ahli MKT dan Ahli-ahli Parlimen BN yang sebulat suara mencalonkannya sebagai Perdana Menteri, disokong oleh kepimpinan UMNO negeri, bahagian dan cawangan. – MalaysiaGazette