Home Politik Pemilihan parti bukan untuk rebut jawatan – Akmal Nasir

Pemilihan parti bukan untuk rebut jawatan – Akmal Nasir

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir bercakap kepada media mengenai isu politik semasa di Sri Gombak, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 20 MAC 2022.

GOMBAK – Sesiapa sahaja yang bertanding dalam pemilihan parti pada Mei ini hendak lah memenangi naratif rakyat dan bukannya semata-mata berebut jawatan, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Bagaimanapun, setakat ini Ahli Parlimen Johor Bahru itu masih belum memuktamadkan sebarang keputusan untuk bertanding pada pemilihan parti kali ini.

Ini kerana katanya, apa yang menjadi keutamaan adalah adalah memastikan PKR mempunyai tempat di hati rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Saya belum buat keputusan (bertanding) tapi macam saya sebutkan kita nak pastikan PKR ada tempat di hati rakyat bila masuk PRU15.

“Sementara cabaran kepada PKR adalah pemilihan itu berlaku sebelum pilihan raya, sementara parti yang lain telah tangguhkan pemilihan parti mereka selepas PRU15.

“Namun, sesiapa pun yang bertanding mereka melihat kepada bagaimana hendak memenangi naratif rakyat di luar, bukannya hendak berebut jawatan (atau) gaduh sana sini akhirnya kampung kita tergadai,” katanya ketika ditemui pemberita pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Gombak di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Akmal berkata, langkah Rafizi Ramli yang mengumumkan bakal bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PKR merupakan satu naratif yang baik berikutan ia menerima sokongan dari rakyat.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai Adam Adli yang dijangka bertanding bagi merebut jawatan Ketua AMK, Akmal berkata, bekas aktivis mahasiswa itu bukan lah orang yang terlalu baharu dalam dunia politik tanah air.

Jelas Akmal, terdapat peruntukan di dalam perlembagaan parti yang membolehkan ahli bertanding dalam pemilihan walaupun belum cukup setahun menjadi ahli.

“Kalau ikut dari segi peraturan sedia ada memang bagi mereka yang ingin bertanding itu perlu sekurang-kurangnya menjadi anggota minima selama satu tahun, ada sebabnya supaya mereka yang ingin memikul tanggungjawab itu telah memahami dan menjiwai organisasi.

“Tapi dalam proses pemilihan parti juga ada klausa yang memberi ruang untuk mendapatkan pelepasan, perkara ini wujud sebelum ini kerana kebimbangan atau keperluan untuk mengisi beberapa kekosongan sebagai contoh, cabang itu baru hendak dihidupkan bersama anggota baharu.

“Justeru, untuk memantapkan organisasi maka diberikan kelonggaran jadi dari segi ini kelonggaran boleh diberikan tapi bagi saya kita juga meraikan, Adam pun bukan lah orang yang terlalu baharu dalam isu politik tanah air,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan dua bekas aktivis mahasiswa, Adam dan Fahmi Zainol dijangka akan bertanding bagi merebut jawatan Ketua AMK PKR.

Namun memandangkan Adam menyertai parti itu tidak sampai setahun pada September lalu, beliau perlu memohon pengecualian untuk menyertai pemilihan parti. – MalaysiaGazette