Home Nasional Dua juruteknik kilang dalang sindiket curi kabel

Dua juruteknik kilang dalang sindiket curi kabel

Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh melihat sebahagian kabel yang dicuri sindiket di Banting, Selangor.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket yang giat aktif dalam kegiatan mencuri kabel di sekitar Banting dekat sini selepas tiga suspek lelaki termasuk seorang warga Bangladesh disyaki mendalanginya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, pada 16 Mac lalu, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan bekerja sebagai penolong pengurus di sebuah kilang kertas.

Pengadu mengatakan pada 14 Mac lalu berlaku kecurian kabel di kawasan kilang.

“Difahamkan kabel yang dicuri dari kilang kertas itu yang siap dipasang tetapi masih belum berfungsi dipotong oleh pihak tertentu lebih kurang 40 meter.

“Akibat kejadian tersebut pihak syarikat telah mengalami kerugian lebih kurang RM16,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Ridhwan, bertindak atas maklumat,  sepasukan pegawai dan anggotanya telah membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Manggis.

Hasil serbuan, pihak berjaya membuat tangkapan ke atas dua orang lelaki warga tempatan dan dan seorang lelaki warganegara asing.

“Kesemua suspek yang ditangkap berumur lingkungan 20-an dan masing-masing tidak mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah .

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam rumah milik keluarga salah seorang suspek tempatan itu polis juga telah berjaya merampas dua gulung kabel warna hitam, segulung kabel warna hijau dan kuning, lima gulung wayar tembaga, tiga bungkusan plastik mengandungi kulit kabel dan sebuah kereta jenis Proton Iswara disyaki milik suspek.

“Hasil soal siasat awal suspek-suspek yang ditangkap, telah mendedahkan kumpulan ini aktif melakukan jenayah curi kabel sejak awal tahun 2022,” ujarnya.

Malahan kedua-dua suspek tempatan bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Banting.

“Dengan tertangkapnya semua suspek, polis percaya telah menyelesaikan lima kes curi kabel dikawasan Banting dan Telok Panglima Garang.

“Kesemua suspek telah direman selama dua hari dan ditahan di lokap Balai Polis Banting, Ibupejabat Polis Daerah Kuala Langat,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika disabit kesalahan.  – MalaysiaGazette