BAYAN LEPAS – Sesi persekolahan penggal pertama 2022/2023 berjalan lancar apabila pelajar dilihat lebih bersemangat dan tidak sabar memulakan hari pertama persekolahan secara bersemuka hari ini, selain bertemu guru dan rakan.
Tinjauan MalaysiaGazette di Sekolah Kebangsaan Seri Relau di sini, mendapati ibu bapa memberikan reaksi positif terhadap pembelajaran dan kelas secara fizikal berbanding proses Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).
Namun, ada ibu bapa yang ditemui mengakui berasa bimbang menghantar anak ke sekolah tetapi pada masa sama yakin dengan segala prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan pihak sekolah bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pelajar.
Amar Firdaus Zamri, 35, meluahkan rasa bersyukur dengan pembukaan sekolah kali ini selepas melihat anaknya melalui tempoh sukar sepanjang belajar secara dalam talian.
Jelasnya, anak sulungnya, Bilal yang memasuki Tahun 1 teruja untuk ke sekolah memandangkan dua tahun sesi tadika dia lebih kerap di rumah susulan menjalani pembelajaran secara dalam talian.
“Hari ini anak saya bersemangat dan gembira untuk ke sekolah dan saya harap semua urusan berjalan lancar kerana kami (ibu bapa) tidak dibenarkan masuk susulan SOP Covid-19.
“Sebagai bapa saya turut gembira anak kini sudah boleh menjalani pembelajaran secara fizikal ini kerana ia lebih mudah untuk dia memahami apa yang diajar selain boleh bertanya kepada guru sekiranya ada kemusykilan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Turut menyatakan pendapat yang sama, Wan Sharipahmira Mohd Zain, 34, berkata, dia yakin sesi pembelajaran secara bersemuka mampu memberikan pengetahuan yang lebih jelas kepada pelajar sekolah.
“Bimbang jangkitan Covid-19 itu memang ada tapi kami akan dapatkan vaksin buat anak saudara saya dalam tempoh terdekat selain yakin SOP yang ditetapkan kementerian di sekolah menjamin keselamatan mereka,” kata Wan Sharipahmira yang hadir untuk menghantar anak kakaknya.
Sementara itu, R. Vishnu , 48, berkata, dia berharap sesi sekolah bagi tahun ini berjalan penuh secara bersemuka agar memberi manfaat lebih besar kepada anak-anak berbanding kelas secara dalam talian.
“Di sekolah, anak saya dapat bersosial serta berinteraksi dengan rakan dan guru.
“Malah, pembelajaran juga lebih efisien sebab mudah untuk bertanya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sesi persekolahan Penggal 1, Kalendar Akademik Sesi 2022/2023 bagi semua sekolah di seluruh negara akan bermula 21 Mac ini.
Bagaimanapun, masih ada murid yang perlu hadir ke sekolah secara bersemuka, penggiliran dan mengikuti proses Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).
Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, bagi sekolah rendah dengan murid melebihi 600 orang, murid yang hadir ke sekolah tanpa penggiliran adalah murid berkeperluan khas (MBK), Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Tahun 1, Tahun 2, Tahun 6 dan semua murid penerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT). – MalaysiaGazette