Home Nasional Perisian pangkalan data IPRS dinaik taraf versi terkini – Bukit Aman

Perisian pangkalan data IPRS dinaik taraf versi terkini – Bukit Aman

Polis Diraja Malaysia hari ini menafikan dakwaan wujud kegiatan menculik kanak-kanak ke negara jiran untuk dibunuh dan menjual organ seperti tular di media sosial- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Integrated Police Reporting System (IPRS) yang digunakan untuk menerima laporan polis kini sedang menjalani proses naik taraf perkakasan dan perisian pangkalan data ke versi terkini.

Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi) Jabatan Logistik dan Teknologi (JLOG) Bukit Aman, Datuk Shukri Abdullah berkata,  kerja-kerja penyelenggaraan telah dijalankan secara berfasa bermula 19 Mac lalu.

“Memo dalaman berhubung kerja-kerja ini telah diedarkan kepada semua formasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 15 Mac lalu agar persediaan diaturkan bagi sistem manual digunakan di mana-mana formasi yang mengalami kesukaran mengakses IPRS dalam tempoh penyelenggaraan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu respon selepas PDRM menerima sebaran mesej di media sosial yang mendakwa IPRS mengalami gangguan teknikal untuk diakses di seluruh negara.

Tambah Shukri, proses menaik taraf pangkalan data terbabit sepertimana yang telah ditetapkan di dalam kontrak penyelenggaraan sistem tersebut demi penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Justeru katanya, pihak syarikat yang dilantik sedang menjalankan konfigurasi dan troubleshooting bagi isu-isu teknikal yang berbangkit ekoran proses migrasi data yang besar.

“Sebarang kesukaran mengakses iprs yang dialami merupakan gangguan sementara dan keseluruhan proses penyelenggaraan dijangka akan diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Menurutnya, PDRM mempunyai mekanisme proses kerja secara manual bagi memastikan kesukaran mengakses IPRS tidak menjejaskan penerimaan laporan polis.

“Orang ramai yang perlu membuat laporan polis masih boleh berurusan seperti biasa di mana-mana kaunter balai polis,” tegas beliau. – MalaysiaGazette