Home Nasional Perlu buat pindaan Parlimen sebelum beku akaun suami culas bayar nafkah

Perlu buat pindaan Parlimen sebelum beku akaun suami culas bayar nafkah

Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu membuat pindaan di Parlimen terlebih dahulu bagi mengiktirafkan Mahkamah Syariah berada di bawah akta Kementerian Kewangan untuk melaksanakan tindakan pembekuan akaun suami yang culas membayar nafkah isteri.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, sehingga kini keputusan Mahkamah Syariah di bawah akta Kementerian Kewangan tidak tersenarai sebagai keputusan yang terikat di bawah akta.

“Keputusan Mahkamah Syariah seolah-olah tidak diiktiraf bagi tindakan kuat kuasa dan ini amat menyedihkan kerana ia menjejaskan hak para isteri yang diceraikan tanpa pembelaan terhadap keperluan nafkah mereka. Semua kes cerai melibatkan umat Islam ditentukan keputusan penghakimannya oleh Mahkamah Syariah di seluruh negara.

“Pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di bawah Menteri Agama telah dipertanggungjawabkan untuk berunding dan menyelaras dengan bahagian undang-undang Bank Negara dan Kementerian Kewangan supaya dibuat pindaan bawah Kementerian Kewangan.

“Inisiatif ini bagi menjaminkan keputusan Mahkamah Syariah diktiraf secara berakta untuk tindakan membekukan akaun suami yang gagal memenuhi nafkah yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Perdaha Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan akaun bank bekas suami akan dibekukan jika mereka ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri.

Kerajaan juga akan mengarahkan bank untuk menyalurkan bayaran yang ditetapkan mahkamah secara terus kepada wanita terbabit.

Justeru, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berharap, Datuk Seri Ismail Sabri dapat memberikan komitmen untuk membuat pindaan di Parlimen agar akta bawah Kementerian Kewangan dapat mengiktiraf keputusan Mahkamah Syariah itu.

“Tanpa pindaan saya anggap Perdana Menteri hanya beretorik semasa Perhimpunan Agong UMNO (PAU 2021) untuk mendapat sokongan politik.

“Beliau hanya perlu rujuk kepada JKSM yang telah pun memulakan usaha ini semasa dasar Islam Rahmatan Lil Alamin (RAL) diperkenalkan pada tahun 2018 sebagai salah satu inisiatif memartabatkan Mahkamah Syariah semasa saya diamanahkan bawah kerajaan PH,” ujarnya. – MalaysiaGazette